April 10th, 2008 at 4:25pm
Kitab al-Syifa ini merupakan sebuah kitab yang cukup terkenal berkaitan dengan hak seorang Islam terhadap diri Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Kitab ini dikemukakan oleh saya setelah melihat ramai di kalangan umat Islam tidak mengetahui hak Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam yang patut dibela dan dipertahankan.
Justeru itu, kitab ini yang dikarang oleh Qadhi ‘Iyadh dengan judul al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Musthafa atau al-Syifa fi Syaraf al-Musthafa yang lebih dikenal sedemikian oleh penduduk Islam sebelah Timur adalah sebuah kitab yang cukup sinonim dalam situasi ini.
Latar Belakang Qadhi ‘Iyadh
Qadhi ‘Iyadh ialah Abu al-Fadhl, ‘Iyadh bin Musa bin ‘Iyadh bin ‘Amrun bin Musa bin ‘Iyadh al-Sibti al-Yahsubi. Nasabnya bertemu dengan suku Arab Qahthani di Yaman. Nenek moyangnya dipercayai mendiami kota Granada di Andalus, kemudian mereka berhijrah ke kota Fes di Maghribi dan datuknya iaitu ‘Amrun berpindah pula ke kota Sebtah (Ceuta) sekitar tahun 373H atau 893M.
Keluarganya cukup terkenal di Sebtah dengan keluarga yang baik dan bertakwa. Kota ini menyaksikan kelahiran ‘Iyadh pada 15 Sya’ban tahun 476H bersamaan 28 Disember tahun 1083M. Beliau mula membesar dan mendapat pendidikan awalnya di sana.
Mengembara Menuntut Ilmu
‘Iyadh telah mengembara ke Andalus pada tahun 507H/1113M untuk menuntut ilmu dan mendengar hadis dan periwayatannya. Beliau mengembara ke serata ceruk Andalus untuk menemui tokoh ilmuan Islam yang bertebaran di sana di bidang fiqh dan hadis. Beliau mula menjejaki buat pertama kalinya di kota Cordoba dan menuntut dengan tokoh ilmuannya seperti Ibn ‘Itab, Ibn al-Haj, Ibn Rusyd, Abu al-Hussain bin Siraj dan selain mereka.
Kemudian beliau menuju ke Murcia, Andalus pada tahun 508H/1114M dan bertemu dengan ulamanya iaitu Abu ‘Ali, al-Husain bin Muhammad al-Sadafi yang terkenal dengan kemampuan hafalannya dan menjadi hujah di kalangan ulama di waktu itu dalam bab hadis.
‘Iyadh melaziminya dengan mendengar kedua kitab Sahih hingga diijazahkan seluruh riwayat dan sanad berkaitan dengannya. Beliau tidak pula mengembara ke Timur sebagaimana yang dilakukan oleh sebilangan ulama lain dalam menuntut ilmu, ini menunjukkan bahawa aktiviti keilmuan di Andalus ketika itu telah berjaya menghasilkan sebilangan besar tokoh ulama dalam pelbagai bidang dan mampu menyaingi kehebatan ulama dari Timur.
‘Iyadh kembali ke Sebtah (Ceuta) dengan ilmu penuh di dada dan menjadi rujukan utama di kalangan penduduk sekitar atas kecerdasan akal dan kebijaksanaannya dalam memberikan fatwa. Kepulangannya pada 7 Jamadilakhir 508H bersamaan dengan 9 Oktober 1114M telah membuatkan beliau diletakkan sebagai salah seorang tenaga pengajar di kota tersebut dalam usia yang baru mencecah 32 tahun.
Setelah lama dalam keadaan tersebut, pada usia 39 tahun iaitu pada tahun 515H/1121M beliau dilantik sebagai hakim (Qadhi) selama 16 tahun di sana. Pada tahun 531H/1136M pula dalam usia menjangkau 55 tahun beliau telah dilantik sebagai hakim di kota Granada beberapa lama. Beliau kembali semula ke Sebtah selepas itu dan dilantik lagi menjadi hakimnya pada tahun 539H/1144M.
Lautan Ilmu
‘Iyadh hidup dalam lapangan ilmu dengan memberikan fatwa, membaca dan menulis. Hal inilah yang membuatkan beliau cukup terkenal dengan hasil karya yang cukup bernilai sepanjang sejarah Islam. Beliau adalah seorang tokoh yang cukup hebat dalam ilmu Hadis dari aspek ketinggian sanad periwayatan, dhabith dan juga kesungguhan yang tidak dapat ditandingi melainkan para ilmuan di kalangan ahli hadis sendiri.Di lapangan ini beliau menghasilkan tiga buah kitab syarah hadis iaitu:
- Masyariq al-Anwar ‘ala Sihah al’Atsar (مشارق الأنوار على صحاح الآثار)
- Ikmal al-Mu’lim Syarah fihi Sahih Muslim (إكمال المعلم شرح فيه صحيح مسلم)
- Bughyat al-Ra`id lima fihi Hadits Umm Zara’ min al-Fawa`id (بغية الرائد لما في حديث أم (زرع من الفوائد
- Dan kitab pengajian Hadis yang dihasilkan beliau ialah kitab al-Ilma’ dengan tajuk penuhnya (الإلماع في ضبط الرواية وتقييد السماع)
Kenyataan ini merupakan keterangan yang diberikan oleh Abu ‘Abd Allah Muhammad al-Amin dalam kitabnya berjudul al-Majd al-Tharif wa al-Talid (المجد الطارف والتالد). Beliau menggambarkan kedudukan Qadhi ‘Iyadh yang begitu tinggi di bidang keilmuan serta kelebihannya yang setaraf dengan ulama Islam yang lain.
Di bidang Fiqh pula beliau telah banyak mempelajari kitab al-Mudawwanah hasil karya Suhnun al-Tanukhi dalam Fiqh Maliki, bangkit semangatnya untuk menghasilkan kitab tersebut dengan dihuraikan periwayatnya, menjelaskan kekeliruan di dalamnya dan menyemak semula lafaz dan kalimahnya.
Beliau telah menulis sebuah kitab yang berjudul Tadrib al-Madarik (تدريب المدارك) yang dianggap sebagai ensiklopedia terbesar yang menghimpunkan biodata tokoh mazhab Maliki dan para periwayat hadis al-Muwattha` dan ulamanya.
Sebuah lagi kitab khas yang menceritakan mengenai gurunya iaitu Abu ‘Ali, al-Husain al-Sadafi berjudul al-Mu’jam (المعجم). Kitab tersebut mengisahkan cerita gurunya itu, tokoh-tokoh ulama yang dijumpainya dan dipelajari ilmu daripada mereka serta salasilah periwayat di kalangan ulama Timur dan Barat yang pernah dipelajarinya.
Qadhi ‘Iyadh juga adalah seorang yang seni dan menyukai kesusasteraan, beliau mempelajari kitab berkaitan sastera dan bahasa sama seperti beliau meriwayatkan kitab Fiqh dan Hadis. Antara kitab yang dia pernah dipelajarinya secara langsung dengan gurunya seperti kitab al-Kamil oleh al-Mubarrid, Adab al-Katib oleh Ibn Qutaibah, Islah al-Manthiq oleh Ibn al-Sikkit serta Diwan al-Hammasah dan al-Amali oleh Abu ‘Ali al-Qali.
Qadhi ‘Iyadh pernah menulis sebuah sajak berkaitan dengan kerinduannya untuk menziarahi Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dengan menunaikan haji. Namun kesibukan yang dihadapinya dalam mengajar dan memberi fatwa telah menutup peluangnya untuk menunaikan fardu haji. Antara syair beliau yang membayangkan kerinduan beliau untuk berkunjung ke sana dan menziarahi Masjid Nabawi seperti berikut:
بشراك بشراك فقد لاحت قبابهم
Qadhi ‘Iyadh hidup dalam era pemerintahan Dinasti Murabitun yang mengutamakan mazhab Maliki dan mengutamakan ulamanya. Namun, selepas kerajaan Murabitun menghadapi kelemahan dan muncul pula kerajaan al-Muwahhidun yang cuba melepaskan pengaruh Murabitun. Kerajaan al-Muwahhidun ini berdiri di atas seruan agama yang lebih terbuka dan bermatlamatkan kepada pemikiran yang lebih terbuka dan tidak terlalu terikat dengan kejumudan fuqaha.
Sebaliknya mereka menyeru agar kembali berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah menggantikan kesibukan mereka dalam membincangkan permasalahan cabangan yang tidak ke mana. Keadaan ini menjadi satu adat kebiasaan yang mana Qadhi ‘Iyadh dengan keilmuan dan aliran fiqhnya dengan kerajaan sebelum itu turut bangun menentang kerajaan baru tersebut. Namun penentangan ini tidak berjaya dan Qadhi ‘Iyadh terpaksa tunduk dan mematuhi kerajaan baru yang dipimpin oleh ‘Abd al-Mukmin bin ‘Ali al-Kumi.
Tidak panjang usianya dengan kerajaan baru tersebut dan beliau meninggal dunia pada 9 Jamadilakhir 544H bersamaan dengan 14 Oktober 1149M dalam usia mencecah 68 tahun - rahimahullah.
Kandungan Kitab al-Syifa
Kitab ini mengupas secara panjang lebar berkaitan dengan keperibadian dan hak-hak yang sepatutnya ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Kitab ini begitu bermutu dan masih digunakan sebagai rujukan hingga kini di negara Islam.
Haji Khalifah berkata pula: Kitab tersebut adalah sebuah kitab yang hebat dan cukup berfaedah, tidak pernah ditulis sepertinya dalam dunia Islam. Syukur kepada Allah Taala atas usaha yang dilakukan oleh penulisnya, semoga diterima dengan rahmat dan kemuliannya di sana kelak.
Ulama yang membaca kitab tersebut, berlumba-lumba untuk menghurai dan mengeluarkan hadis-hadisnya. Bahkan mereka turut menulis ringkasan dan huraian berpandukan kitab tersebut sebagaimana kata ‘Abd Allah al-Habsyi: Hampir 80 buah kitab telah ditulis berkaitan dengan kitab al-Syifa ini, antaranya kitab huraian, hasyiah dan juga takhrij.
Ulama turut menceritakan berkaitan manuskrip kitab ini yang telah dicetak buat pertama kalinya di Mesir pada tahun 1276H dan di Ankara pada tahun 1290H, di kota Fes, maghribi pada tahun 1305H. Dicetak pula dengan semakan oleh Muhammad Salim dan Ibrahim Madkur pada tahun 1396H dan diulang cetak semula dengan semakan ‘Ali Muhammad al-Bijawi pada tahun 1397H.
Kitab huraian pada kitabnya ini adalah seperti karya Abu al-Mahasin Ibn al-Dhajjah (w.572H) yang sezaman dengannya, antara kitab lain seperti:
- kitab Nasim al-Riyadh oleh Syihab al-Khafaji,
- kitab Khulasah al-Wafa bi Syarh al-Syifa (خلاصة الوفا بشرح الشفا) oleh Ibrahim Hanif al-Rumi (w.1199H),
- kitab Muzil al-Khafa ‘an Alfazh al-Syifa (مزيل الخفا عن ألفاظ الشفا) oleh Ahmad bin Kamal al-Din al-Syimni al-Misri (w.873H),
- kitab al-Riyadh fi Khatm al-Syifa li al-Qadhi ‘Iyadh (الرياض في ختم الشفا للقاضي عياض) oleh al-Sakhawi (w.902H),
- kitab Syarh al-Syifa oleh ‘Ali bin Sultan Muhammad al-Qari atau lebih dikenali sebagai Mulla ‘Ali al-Qari (w.1014H),
- kitab Hasyiah Ibn Luthf ‘ala al-Syifa oleh Muhammad Hasan bin Luthf ‘Ali (w.1312H),
- kitab Manahil al-Safa fi Hill Alfazh al-Syifa (مناهل الصفا في حل ألفاظ الشفا) oleh Ibn Gennoun al-Fasi (w.1333H); dan,
- kitab Manahil al-Safa fi Takhrij Ahadits al-Syifa (ومناهل الصفا في تخريج أحاديث الشفا) oleh Jalal al-Suyuthi (w.911H).
Kandungan kitabnya ini terbahagi kepada 4 bahagian:
Bhgn 1 – Mengagungkan Nabi dari aspek perkataan dan perbuatan
Bhgn 3 – Apa yang mustahil pada hak Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam
Semoga Allah Taala memberikan kita peluang untuk membaca, bukan membaca ketika ada peluang! Insya Allah