Blog ini adalah blog yang menjadi ganti kepada blog www.mohdfikri.com/blog yang bermasalah setelah 2 tahun beroperasi. Segala bahan-bahannya dipindahkan ke sini. Harap maklum!

Jumaat, 7 Ogos 2009

al-Tathfil wa Hikayat al-Thufailiyain wa Akhbarahum


November 30th, 2008 at 11:40am

Kitab ini merupakan sebuah karya yang agak menarik bagi mereka yang mampu membaca di dalam bahasa Arab. Ia boleh diibaratkan sebagai sebuah buku ‘hiburan’ yang bermanfaat pada masanya. Sama konsepnya dengan buku humor atau komik yang dibaca oleh kanak-kanak atau remaja pada hari ini bagi mengisi masa terluang, sayangnya tidak banyak yang dapat memberikan faedah dan manfaat sebagaimana yang diinginkan dalam pengisiannya.

Kitab ini adalah sebuah kitab yang sama konsepnya dengan karya al-Hafiz Ibn al-Jauzi yang berjudul ‘Akhbar al-Hamqa wa al-Mughaffalin‘ atau kisah orang dungu dan nyanyuk (3/4). Kisah benar yang penuh kelucuan mengenai kepelbagaian manusia yang hidup ketika itu dan diabadikan untuk tatapan kita pada hari ini sebagai iktibar dan panduan berguna.

Penulis kitab ini adalah al-Hafiz al-Khathib al-Baghdadi (392-463H) atau nama penuhnya Abu Bakar Ahmad bin Ali bin Tsabit bin Ahmad bin Mahdi al-Khathib al-Baghdadi. Beliau dilahirkan di Hijaz dan dibesarkan di pinggir kota Baghdad, Iraq yang mana bapanya dilantik sebagai imam dan khatib Jumaat di masjidnya selama hampir 20 tahun. Beliau mempelajari agamanya di sana dan mengembara menuntut ilmu dengan para tokoh ilmuan di sekitar Baghdad dan pekan berhampiran seperti Ba’quba, al-Anbar, Nahrawan, Basrah, Kufah hingga ke bumi Syam dll.

Berkata al-Sam’ani: al-Khathib membacakan Sahih al-Bukhari di Makkah di hadapan Syaikhah Karimah Bintu Ahmad al-Maruzi dalam 5 hari sahaja.

Abu al-Farj al-Isfaraini menceritakan: al-Khathib bila bersama kami dalam perjalanan haji ke Makkah, beliau akan mengkhatamkan al-Quran setiap hari menjelang senja dengan bacaan penuh tartil. Apabila orang datang bertemu dengannya semasa beliau sedang menunggang dalam perjalanan tersebut dan mereka meminta dibacakan hadis, beliau akan membacakan hadis kepada mereka.

Ibn al-Abnusi pula menceritakan: al-Khathib apabila beliau berjalan, di tangannya pasti ada buku yang boleh dirujuknya.

(Kataku: Ini semua adalah ketekunan dan kesungguhan seorang tokoh ulama dalam mendalami ilmu pengetahuan yang tidak mampu ditandingi oleh orang lain pada hari ini. Semoga Allah Taala memberikan kita semua ‘kecintaan’ untuk mengikuti jejak langkah mereka dan bangkit bersama-sama mereka di akhirat kelak. Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Seseorang itu bersama orang yang dikasihinya di akhirat kelak [HR al-Bukhari] Amin ya Rabb!)

Beliau bermazhab Asy’ari dari aspek akidah dan bermazhab Syafii dari aspek fiqh. Walaupun begitu keluasan ilmu hadis, fiqh, usul, adab, sejarah dll tiada tandingannya. Hingga kini, kitabnya seperti Rehlah Fi Thalab al-Hadits, al-Kifayah fi Ilm al-Riwayah, al-Tabyin fi Asma al-Mudallasin, Takhrij ‘Awali Ahadits Malik bin Anas, Riwayat al-Aba ‘an al-Abna’ dan sebagainya di bidang hadis masih menjadi rujukan utama bagi penuntut keilmuan tersebut.

Ringkasan Kitab al-Tathfil

Khathib al-Baghdadi memulakan kitabnya dengan membicarakan tujuan penulisan kitab tersebut dengan menyebut makna Tathfil berdasarkan definisinya di dalam bahasa Arab. Apa yang menariknya bila saya membaca tajuk kitab ini, saya tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan maksud Tathfil tersebut. Ini kerana di dalam bahasa Arab yang saya fahami, Thufaili bermaksud PARASIT. Pokok-pokok ‘liar’ yang menumpang di atas pokok lain atau haiwan yang hidup di atas haiwan lain adalah termasuk dalam golongan parasit ini. Nanti kita akan ceritakan sedikit mengenainya…

Beliau kemudiannya menceritakan topik utama yang berkisar dengan kisah Tathfil ini dan membawa beberapa buah hadis yang bersesuaian dengan tajuk tersebut. Seterusnya disebutkan beberapa kisah, syair dan puisi yang lengkap dengan sanad periwayatnya. Dibawakan juga beberapa buah hadis berkaitan dengan dijelaskan ‘turuq’ jalan periwayatannya dan perselisihan yang berlaku padanya. Penerangan ini kadangkala mencapai beberapa muka halaman serta beliau turut mengkritik sesetengah riwayat yang nyata terseleweng dari maksudnya yang asal.

Sebahagian lagi diceritakannya dengan berhujahkan menurut uslub fiqh dan setiap cerita itu disertakan dengan pentup bersandarkan moral yang boleh dicapai dari sesebuah kisah yang diutarakannya. Ini sebahagian daripada konsep nasihat dan panduan kehidupan kepada mereka yang perlu menjauhi sikap suka ‘bergantung’ kepada orang lain atau kepentingan tertentu. Buku ini lebih menjurus kepada subjek sastera dan bahasa dengan sindiran sinis dalam membetulkan segelintir manusia yang tidak mahir dalam kehidupan sosial dan bermasyarakat.

Sebahagian ulama ada menyatakan bahawa tajuk yang sama ada ditulis oleh al-Jahizh. Sayangnya kitab tersebut tidak sampai ke tangan kita pada masa kini. Selepas itu, Ibn al-Jauzi turut menulis tajuk yang sama dan naskhah ini dijumpai di Perpustakaan al-Timuriyah, Kaherah, malangnya hanya satu topik yang lengkap bertajuk ‘Akhbar al-Azkiya’ salah satu topik dari buku al-Thufailiyain ini sahaja yang dapat ditemui.

Ringkasan Kandungannya

(1) bab Makna al-Tathafful menurut bahasa dan mereka yang pertama dinasabkan dengannya.
Aku (al-Khathib) membaca pada al-Hasan Ibn Abi al-Qasim, daripada Abu al-Farj Ali bin al-Husain bin Muhammad al-Asbahani, Menceritakan kepadaku, al-Hasan bin Ali bin Zakariya, menceritakan kepada kami Abu Utsman al-Mazini, menceritakan kepada kami al-Asma’iiy, dia berkata: al-Thufailiyu adalah orang yang masuk kepada satu kaum tanpa diundang.

Kata al-Asma’iiy lagi: Setengah orang menyatakan, al-Thufailiyu adalah orang yang masuk ke kenduri atau satu majlis tanpa dijemput. Ini dinasabkan kepada Thufail, seorang lelaki penduduk Kufah dari kabilah Bani Ghathafan yang sering datang ke majlis jamuan tanpa diundang. Lalu orang menggelarkannya sebagai ‘parasit’ majlis kenduri kahwin.

(Kataku: Pembawaan kisah ini amat sesuai dengan musim cuti sekolah yang banyak berlangsungnya majlis perkahwinan. Mungkin wujud segelintir orang yang sering ‘menyebuk’ di dalam majlis kahwin, walaupun tidak dijemput dan diundang ke majlis tersebut. Lain pula halnya bagi mereka yang tersalah atau tersilap alamat, ia bukanlah parasit yangdimaksudkan di dalam kisah ini.)

Kata Abdullah bin Muslim bin Qutaibah pula: Digelarkan orang yang masuk ke sebuah majlis dan makan tanpa dijemput adalah al-Warisy. Manakala orang yang masuk ke sebuah majlis dan minum tanpa dijemput digelarkan pula sebagai al-Waghil.………. (panjang lagi ceritanya)

(2) bab Mereka yang dinamakan sebagai al-Thufailiyyu dalam era Jahiliyah

diringkaskan…dari Abu Ahwas, berkata Abdullah: Kami menggelarkan seseorang itu sebagai al-Imma’ah sewaktu jahiliyah kepada seseorang lelaki yang diundang ke majlis jamuan dan dia datang bersama rakan-rakannya yang lain tanpa diundang sekali.

(3) bab Mereka yang diajak makan dan meminta agar dibawa rakannya yang lain - Sunnah mengizinkan orang yang diajak mengajak orang lain bersamanya.

dari Anas yang menceritakan bahawa ibunya iaitu Umm Sulaim menceritakan: Aku pergi kepada Rasulullah dan berkata kepadanya: Jika anda ingin makan tengahari bersama kami, datanglah! Baginda bertanya: Bolehkah mereka yang berada bersamaku? Aku menjawab: Ya! [Hadis al-Bukhari & Muslim]

dari Anas bin Malik menceritakan, seorang lelaki Parsi adalah jiran kepada Nabi SAW. Bau masakannya yang cukup enak sering dihidu sewaktu beliau memasak. Kemudian beliau datang kepada Nabi SAW untuk makan bersama Baginda dan Aisyah ada berhampiran Baginda. Dia mengajak Nabi SAW, lalu Baginda Rasulullah SAW bersabda: Dia ini yang turut bersamaku? (diisyaratkan kepada Aisyah). Lelaki tersebut berkata: Ya! [Hadis Muslim]

(…) bab yang masih banyak berkaitan tentang hal ini dengan hadis dan juga syair yang panjang berjela… moga kita mendapat sedikit pengetahuan mengenainya.

Walhamdulillah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan