Blog ini adalah blog yang menjadi ganti kepada blog www.mohdfikri.com/blog yang bermasalah setelah 2 tahun beroperasi. Segala bahan-bahannya dipindahkan ke sini. Harap maklum!

Jumaat, 7 Ogos 2009

Kitab Ma’rifat ‘Ulum al-Hadits


February 20th, 2008 at 8:48am

Kitab ini telah dihasilkan oleh al-Imam, al-Hafiz, al-Allamah, Muhammad bin Abdullah bin Muhammad al-Dhabiyyi, al-Naisaburi, al-Hakim Abu Abdullah, juga terkenal dengan gelaran singkat Ibn al-Bayyi’ atau al-Hakim al-Naisaburi. Beliau dilahirkan di Naisabur, Iran pada tahun 321H dan mempelajari hadis sejak kecil daripada bapa dan juga bapa saudaranya.

Kemudiannya beliau turut mengembara dalam mempelajari hadis di serata pelusuk wilayah Islam seperti Iraq, Mada`in, Khurasan, Hijaz dan banyak lagi. Beliau mendengar hadis daripada sejumlah besar ulama hadis yang mencapai angka 2000 orang syeikh.

Beliau meriwayatkan hadis daripada bapanya, Abu al-‘Abbas al-Asomm, Muhammad bin Salih bin Hani`, Abu Abdillah al-Akhram, Abu Ali al-Naisaburi dan selain mereka. Hadisnya pula diriwayatkan pula oleh beberapa tokoh hadis yang hebat seperti al-Daruquthni, al-Baihaqi, Abu Zar al-Harawi, Ibn Hibban dan ramai lagi.

Beliau berpegang kepada mazhab Fiqh al-Syafii daripada gurunya Abu Sahl al-Sa’luki dan Abu Ali bin Abu Hurairah. Beliau juga merupakan salah seorang pakar Qiraat yang mempelajarinya daripada Muhammad bin Abu Mansur al-Saram dan Abu al-Naqar al-Kufi.

Beliau menjawat jawatan kadi (hakim) di Naisabur dan diminta untuk memegang jawatan yang sama di Jurjan tetapi beliau menolaknya. Beliau merupakan salah seorang ahli perunding atau duta diplomasi di antara kerajaan Bani Buwaih dan Daulah Samaniyah.

Hasil karyanya menurut Ibn Asakir mencapai angka 2,500 buah jilid dalam pelbagai tajuk. Beliau merupakan salah seorang yang menjadi petanda kehebatan Allah Taala di muka bumi ini dengan karang yang luar biasa banyaknya.

Dalam hal ini beliau menceritakan: “Aku telah minum air zamzam dan berdoa semoga Allah menganugerahkan kepadaku kepandaian mengarang dengan begitu baik.” [lihat Thabaqat al-Huffaz].

Di antara kitab karangannya yang masyhur ialah:
  1. Tarikh Naisabur
  2. Al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain
  3. Al-Madkhal ila Makrifat al-Sahih
  4. Fadhail al-Syafii
  5. Al-Iklil
  6. Tasmiyah man Ukrija Lahum al-Bukhari wa Muslim
  7. Makrifah Ulum al-Hadits
Beliau meninggal dunia pada tahun 405H selepas keluar daripada tempat permandian dalam usia yang begitu lanjut.

Kitab Makrifah Ulum al-Hadits

Kitab ini dinyatakan oleh al-Kettani dalam kitabnya Risalah al-Mustathrafah bahawa ia tidak disusun dalam bentuk yang begitu baik. Namun kitab ini boleh di dapati dalam susunan yang agak baik cetakan daripada Dar ibn Hazm keluaran tahun 1424H dengan semakan oleh Ahmad bin Faris al-Salum pada bahagian nota kakinya dengan komentar daripada dua orang al-Hafiz iaitu al-Mu`tamin al-Saji dan Ibn al-Solah.
Catatan hadisnya juga telah diberikan nombor indeks dengan bilangan hadis sebanyak 592 buah hadis dengan cetakan yang begitu baik.Sebuah kajian penyelidikan di peringkat sarjana yang dibentangkan di universiti Umm al-Qura pada tahun 1408 oleh Abdullah bin Sulaim bin Salamah al-So’idi di bawah seliaan Mansur bin ‘Aun al-‘Abdali yang bertajuk “Metod al-Hakim al-Naisaburi di dalam kitabnya Makrifah Ulum al-Hadits dan dikeluarkan hadis-hadisnya.”
Kitab ini merupakan kitab yang dikira sebagai paling awal ditulis berkaitan ilmu Musthalah hadis yang dibawa oleh pengarang daripada pelbagai kaedah yang dilihatnya dapat memberikan keteguhan di dalam ilmu hadis.

Beliau telah menjadikan manhaj penulisannya sepertimana berikut di dalam kitab ini:
Beliau mengemukakan pada permulaannya tentang kelebihan para pengkaji hadis dan orang yang berusaha mengumpulkannya adalah orang yang dapat memanfaatkan pelbagai ilmu yang terkandung di dalamnya.

Seterusnya beliau menerangkan tentang ilmu musthalah hadis yang dibahagikan kepada 52 jenis dengan ditampilkan contoh-contoh bagi setiap bahagian tersebut dengan sanadnya hingga mencapai riwayat bersanad ini sebanyak 480 buah riwayat.

Berkata al-Hakim di dalam mukadimahnya: “Segala puji bagi Allah… adapun selepas itu: Setelah aku melihat bertebarannya perbuatan bidaah di zaman kita ini dan kurangnya pengetahuan manusia terhadap ilmu asas berkaitan sunnah, dengan begitu kurangnya mereka menuliskan hadis-hadis serta lebih banyak mencari sesuatu yang tidak berfaedah dan melalaikan.

Situasi ini membuatkan aku berusaha untuk menulis sebuah buku yang ringan dengan isi kandungan berkaitan kepelbagaian ilmu hadis. Buku ini amat diperlukan untuk mereka yang mencari asas berkaitan hadis dan mereka yang mahu menulis berkaitan dengan ilmu hadis. Aku lebih menekankan di dalamnya bentuk penulisan ringkas tanpa isi yang panjang dan berjela-jela…”

Sekian… wassalam

Kitab al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain - al-Hakim al-Nisaburi


February 20th, 2008 at 8:53am

Kitab ini telah dihasilkan oleh al-Imam, al-Hafiz, al-Allamah, Muhammad bin Abdullah bin Muhammad al-Dhabiyyi, al-Naisaburi, al-Hakim Abu Abdullah, juga terkenal dengan gelaran singkat Ibn al-Bayyi’ atau al-Hakim al-Naisaburi. Beliau dilahirkan di Naisabur, Iran pada tahun 321H dan mempelajari hadis sejak kecil daripada bapa dan juga bapa saudaranya.

Kemudiannya beliau turut mengembara dalam mempelajari hadis di serata pelusuk wilayah Islam seperti Iraq, Mada`in, Khurasan, Hijaz dan banyak lagi. Beliau mendengar hadis daripada sejumlah besar ulama hadis yang mencapai angka 2000 orang syeikh.

Beliau meriwayatkan hadis daripada bapanya, Abu al-‘Abbas al-Asomm, Muhammad bin Salih bin Hani`, Abu Abdillah al-Akhram, Abu Ali al-Naisaburi dan selain mereka. Hadisnya pula diriwayatkan pula oleh beberapa tokoh hadis yang hebat seperti al-Daruquthni, al-Baihaqi, Abu Zar al-Harawi, Ibn Hibban dan ramai lagi.

Beliau berpegang kepada mazhab Fiqh al-Syafii daripada gurunya Abu Sahl al-Sa’luki dan Abu Ali bin Abu Hurairah. Beliau juga merupakan salah seorang pakar Qiraat yang mempelajarinya daripada Muhammad bin Abu Mansur al-Saram dan Abu al-Naqar al-Kufi.

Beliau menjawat jawatan kadi (hakim) di Naisabur dan diminta untuk memegang jawatan yang sama di Jurjan tetapi beliau menolaknya. Beliau merupakan salah seorang ahli perunding atau duta diplomasi di antara kerajaan Bani Buwaih dan Daulah Samaniyah.

Hasil karyanya menurut Ibn Asakir mencapai angka 2,500 buah jilid dalam pelbagai tajuk. Beliau merupakan salah seorang yang menjadi petanda kehebatan Allah Taala di muka bumi ini dengan karang yang luar biasa banyaknya. Dalam hal ini beliau menceritakan: “Aku telah minum air zamzam dan berdoa semoga Allah menganugerahkan kepadaku kepandaian mengarang dengan begitu baik.” [lihat Thabaqat al-Huffaz].

Di antara kitab karangannya yang masyhur ialah:
  • Tarikh Naisabur
  • Al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain
  • Al-Madkhal ila Makrifat al-Sahih
  • Fadhail al-Syafii
  • Al-Iklil
  • Tasmiyah man Ukrija Lahum al-Bukhari wa Muslim
  • Makrifah Ulum al-Hadits
Beliau meninggal dunia pada tahun 405H selepas keluar daripada tempat permandian dalam usia yang begitu lanjut.

Kitab al-Mustadrak

Tujuan al-Hakim menyusun kitab al-Mustadrak adalah untuk menghimpun hadis-hadis sahih berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim, atau salah seorang daripada mereka, yang tidak ditulis dalam kitab sahih masing-masing. Al-Hakim telah menghimpun sebanyak 8,803 hadis di dalamnya dan mensahihkannya mengikut beberapa tahap:

1. Hadis yang sahih mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim.
2. Hadis yang sahih mengikut syarat salah seorang daripada mereka sama ada syarat al-Bukhari atau mengikut syarat Muslim.
3. Hadis yang sahih tanpa disandarkan kepada al-Bukhari atau Muslim iaitu hadis sahih mengikut syarat al-Hakim sendiri.
4. Hadis yang tidak diberi apa-apa darjat. Kemungkinan al-Hakim bermaksud untuk menilainya setelah siap menyusun kitab al-Mustadrak tetapi dia tidak sempat untuk menunaikan maksudnya.

Kajian yang dilakukan semula oleh tokoh-tokoh hadis selepas al-Hakim mendapati wujud beberapa percanggahan dalam teknik pensahihan al-Hakim. Mereka dapati hanya sebahagian hadis yang darjatnya menepati pensahihan al-Hakim manakala selainnya tidak. Ada hadis yang dihukum sahih oleh al-Hakim berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim akan tetapi semakan semula mendapati ia tidak menepati syarat al-Bukhari dan Muslim.
Demikian juga bagi hadis yang beliau sahihkan berdasarkan syarat salah seorang daripada mereka, atau berdasarkan syarat al-Hakim sendiri. Bahkan adakalanya di sebalik pensahihan tersebut, semakan semula mendapati hadis tersebut sebenarnya memiliki darjat dha‘if, sangat dha‘if sehinggalah ke darjat palsu (maudhuk).

Para ahli hadis ini yang mengetahui percanggahan ini telah terbahagi kepada 3 bahagian:
Pertama: mereka yang mendakwa beliau adalah seorang ahli hadis tetapi pada masa yang sama juga adalah seorang Syi‘ah al-Rafidhah yang jahat. Oleh itu disahihkan hadis-hadis yang tidak sahih bertujuan mencemari asas-asas Ahl al-Sunnah dan pada waktu yang sama membenarkan Mazhab Syi‘ah.

Hal ini dijelaskan oleh al-Zahabi: “Beliau merupakan seorang yang dipercayai tetapi beliau mensahihkan di dalam kitab Mustadraknya itu beberapa hadis yang digugurkan dan begitu banyak boleh dijumpai di dalamnya. Aku tidak mengetahui apa yang dia sembunyikan daripada hal itu atau sememangnya dia tidak mengetahui perkara tersebut (dari kejahilannya sendiri).
Sekiranya dia mengetahui kesalahan yang dia lakukan itu dan disengajakan, maka itu merupakan perbuatan khianat dan dia adalah seorang Syiah yang sememangnya masyhur dengan perlakuan sedemikian dalam mengambil hadis yang bercanggah dengan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.” [Kitab Mizan Iktidal]

Perkataan yang agak ‘keras’ dilafazkan oleh Abu Ismail Abdullah al-Ansari apabila ditanya tentang al-Hakim: “Beliau ialah seorang imam dalam hadis dan juga Rafidhah yang najis.”
Berkata pula Ibn Thahir al-Maqdisi: “Beliau adalah seorang yang begitu fanatik dalam jiwanya terhadap Syiah. Beliau menampakkan dirinya sunnah dengan mendahulukan para khulafa yang awal, tetapi mula bersikap menyeleweng tentang Mu’awiyah dan ahli keluarganya secara terang dan langsung tidak memohon maaf atas kesalahannya”.

Al-Zahabi berkata: “Aku mengambil jalan sederhana dengan menyatakan bahawa beliau bukanlah Rafidhah (pelampau Syiah) tetapi hanya sekadar seorang Syiah. [Kitab Mizan Iktidal]
Pendapat ini dianggap lemah malah ditolak oleh Ahl al-Sunnah. Ini kerana Mazhab Ahl al-Sunnah tidak menghukum seseorang melainkan pada amal zahirnya. Amalan zahir al-Hakim tidak menunjuk atau mengisyaratkan apa-apa tanda bahawa beliau bermazhab Syiah al-Rafidhah.

Perkara paling utama yang boleh dikatakan tentang al-Hakim ialah beliau hanya mengutamakan kecintaan kepada para Ahl al-Bait dan ini dikenali sebagai al-Tasyaiyu’ atau al-Mufadhdhilah.
Kedua: Bagi usaha mengumpulkan 8,803 buah hadis yang sahih menurutnya. al-Hakim telah mengambil jangka masa yang begitu lama sehingga ke penghujung hayatnya. Dalam jangka masa yang lama ini, sebagaimana kebiasaannya bagi orang yang berusia lanjut mereka tidak begitu mantap dalam menghukum darjat sesebuah hadis, bahkan sering tersilap.

Kecerdasan fikiran yang semakin lemah dan berkemungkinan nyanyuk telah menyebabkan al-Hakim banyak membuat kesilapan di dalam periwayatan hadis dalam al-Mustadrak sehingga ke tahap mensahihkan hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang pernah ditolaknya sendiri dalam kitab yang lain.

Oleh kerana kesilapan yang begitu menjejaskan ini dalam lapangan ilmu hadis, sebahagian ahli hadis menganggap lemah pensahihan hadis al-Hakim sehingga tidak boleh berhujah dengannya melainkan disemak semula.

Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (852H) menerangkan: (al-Hakim adalah) seorang imam yang sangat benar dan juga seorang yang sangat bahaya, paling utama yang disebutkan tentangnya adalah dia digolongkan di kalangan orang-orang yang dha‘if. Tetapi telah diperkatakan oleh sebahagian ulama tentang keuzurannya kerana dia menulis kitab al-Mustadrak ketika di penghujung umurnya. Malahan sebahagian yang lain menyebutkan bahawa beliau telah mulai tidak kuat mengingat dan nyanyuk pada usia tersebut.

Ketiga: al-Hakim dalam periwayatan hadis agak bermudah-mudahan (tasahul) di dalam mensahihkan sesuatu hadis. Ini sebagaimana terang Ibn al-Shalah rahimahullah (643H): ”Dan dia (al-Hakim) meluaskan syarat penetapan hadis sahih dan mengambil sikap bermudah-mudahan dalam menghukum dengannya.”

Ibn Dihyah di dalam kitabnya al-‘Ilm berkata: “Menjadi kewajipan kepada ulama hadis untuk berwaspada pada setiap perkataan al-Hakim Abu Abdullah kerana dia banyak berbuat silap, menzahirkan hadis-hadis yang tertolak.”

Berkata Abu Sa’id al-Malini: “Aku telah melihat kitab al-Mustadrak yang dikarang oleh al-hakim daripada mula hingga akhir dan kau tidak jumpa sebuah hadis yang terdapat syarat kedua imam tersebut (al-Bukhari dan Muslim).”

Berkata al-Zahabi dalam mengomentari pendapat tersebut: “Ini merupakan pendapat yang melampau oleh al-Malini, sedangkan masih terdapat sejumlah hadis yang menepati syarat kedua imam tersebut dan sejumlah besar lagi mengikut syarat salah seorang dari keduanya.
Moga kedua syarat tersebut memenuhi setengah kitabnya, seperempat di kalangan hadis yang sah dari aspek sanadnya sekalipun terdapat sedikit kecacatan, dan seperempat lagi yang mengandungi hadis munkar dan lemah yang tidak sah diamalkan serta selebihnya adalah hadis palsu.” [Tazkirat al-Huffaz]

Semoga Allah merahmatinya dan kita semua… Allahumma amin!

Kitab al-Isti’ab fi Ma’rifat al-Ashab


March 9th, 2008 at 5:53am

Kitab al-Isti’ab fi Makrifat al-Ashab (الإستيعا ب في معرفة الأصحاب) ini disusun oleh Abu ‘Umar Yusuf bin ‘Abdullah bin Muhammad bin ‘Abd al-Barr al-Andalusi (w. 463H).

Kitab ini mengandungi lebih kurang 3,500 biografi para sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Ia juga merupakan sebuah kitab terbaik dalam lapangan biografi para sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, jika tidak disebutkan perselisihan di kalangan para sahabat serta mementingkan penjagaan dari aspek periwayatan sesetengah orang yang tidak terkenal dan juga cerita-cerita yang tidak diketahui.

Hal ini dijelaskan oleh al-Nawawi apabila dinyatakan tentang kitab biografi ini, jelasnya: Seandainya ia tidak menyebutkan kisah pertelingkahan para sahabat dan cerita-cerita yang dibawa oleh tukang cerita, pasti ia lebih menarik dan boleh didapati banyak faedah daripada kitab ini.

Beliau menyatakan sumber ambilan daripada penceritaannya ini dari beberapa buah kitab seperti hasil karya Musa bin ‘Uqbah, Muhammad bin Ishaq, al-Waqidi, Khalifah bin Khayyath, al-Zubair bin Bekkar, kitab Tarikh al-Kabir oleh al-Bukhari, Tarikh ibn Khaitsamah, Zail al-Muzil oleh al-Thabari, al-Maulid wa al-Wafat oleh al-Dulabi, kitab al-Ahad oleh Ibn al-Jarud, al-Tasanif karya Ibn Abi Hatim al-Razi, karya al-‘Uqaili dan juga al-Baghawi mengenai para sahabat radhiyallahu ‘anhum.

Namun, penulisan di dalam lapangan ini lebih sistematik yang dipergunakan dengan sebaiknya oleh penulis di dalam kitab ini sebagaimana berikut:
  1. Hanya mengandungi biografi sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.
  2. Beliau turut menyebutkan sahabat yang pasti dan sahih bertemu dengan Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Malah beliau juga turut menyebutkan di kalangan para sahabat yang bertemu dengan Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam walaupun hanya sekali.
  3. Diterangkan juga mengenai keturunan (nasab) para sahabat serta peristiwa yang disaksikan oleh mereka pada zaman Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.
  4. Kadangkala dia turut menceritakan beberapa hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh periwayat tersebut serta mereka iaitu anak-anak muridnya yang meriwayatkan hadis tersebut daripadanya secara langsung.
  5. Penyusunan dan penulisan nama perawinya berdasarkan susunan huruf Hija`iyyah (huruf Mu’jam) dan dalam rangkaian penulisannya pun tidak terlalu memperhatikan susunan huruf keduanya, hanya melihat huruf awal dari nama perawi saja, seperti berikut:
  • Menyebutkan perawi dari kalangan Sahabat.
  • Menyebutkan perawi Sahabat yang lebih dikenal dengan nama Kuniyahnya seperti Abu al-Darda`, Abu Hurairah, Abu Salamah dll.
  • Menyebutkan nama dari kalangan Sahabiyat.
  • Menyebutkan perawi sahabat wanita yang lebih dikenal dengan Kuniyahnya seperti Umm Sulaim, Umm Salamah dll.
Unsur-unsur yang terdapat dalam penyusunannya antara lain adalah dengan menerangkan tentang biografi dan sejarah ringkas kesahabatannya dengan Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Kitab ini telah dicetak dengan pelbagai cetakan dan penerbitan, tetapi antara cetakan terbaik yang diberitahu oleh guru saya iaitu Dr. Abu Yasir Hasan el-Alamie ialah cetakan yang ditahqiq (disemak terlebih dahulu) oleh syeikh Muhammad al-al-Bijawi.

Moga kita beroleh sedikit pengetahuan dari hal ini…

Kitab Fathul Bari Karya Ibnu Hajar Al Asqalani


October 16th, 2008 at 4:07pm
Petikan ini ana dapati dari sebuah laman (situs) Ghuroba dari Indonesia dan ada baiknya kita kongsikan bersama sebagai sumber ilmu.

Memanfaatkan usia sehat dan karunia waktu yang Allah berikan dengan mempelajari ilmu-ilmu syariat yang bersumber dari manusia terbaik dengan kesungguhan dan totalitas merupakan aktivitas yang utama. Adalah Al-Imam Abu Abdillah Al-Bukhari, seorang imam yang telah mencuplik secercah cahaya Al-Kitab dan As-Sunnah yang kemudian beliau kumpulkan di dalam kitabnya Shahih Al-Jami’ yang kemudian populer dengan Shahih Al-Bukhari.

Memahami kitab ini akan lebih sempurna dan sesuai dengan apa yang dikehendaki Allah dan Rasul-Nya bila dilengkapi dengan kitab-kitab yang menjelaskan maksud-maksud, faidah-faidah, kaidah-kaidah yang dipakai penulis, uslub (gaya bahasa) penulisan dan lain sebagainya. Terlebih kitab Shahih Al-Bukhari bisa diibaratkan makanan setengah matang. Karena di dalamnya terdapat hadits-hadits yang nasikh dan mansukh, umum dan khusus sehingga membutuhkan keterangan ulama yang memang ahli di banyak bidang ilmu syariat.

Dengan metode ini, syariat yang dibawa oleh Rasulullah yang bersifat rahmatan lil ‘alamin dan shalih (cocok) untuk segala jaman dan tempat, dapat tersebar. Bukan sekedar kitab yang sulit diaplikasikan di alam nyata. Nampaknya pesan inilah yang hendak disampaikan oleh Ahmad Bin ‘Ali Bin Muhammad Bin Muhammad Bin ‘Ali Al-Asqalani.

Beliau lebih dikenal dengan nama Ibnu Hajar Al-Asqalani, seorang ahli hadits, mufti dan hakim agung di Mesir. Kitab syarah (penjelasan) Shahih Al-Bukhari hasil tulisannya merupakan kitab syarah Shahih Al-Bukhari terbagus dari sekian kitab syarah lainnya dan dianggap mahkota karya-karya Ibnu Hajar Al-Asqalani yang mencapai 150 judul baik yang besar maupun yang kecil.

Penulis kitab Kasyfuz Zhunun, Musthafa Bin Abdullah Al-Qisthanthini Ar-Rumi seorang ‘Alim bermadzhab Hanafi (wafat tahun 1067 M) menyebutkan, “Kitab syarah Al-Bukhari yang paling agung adalah kitab Fathul Bari Syarh Shahih Al-Bukhari[1] karya Ibnu Hajar. Mukadimahnya mencakup 10 pasal yang ia namakan Hadyus Sari. Keistimewaan, keajaiban, dan kepopuleran kitabnya disebabkan cakupan faidah-faidah dan hukum-hukum fiqhiyyah yang sulit diilustrasikan. Terlebih pembahasan sisi sanad hadits sangat luas dan mendalam.”

Begitu menjiwai dan menjelaskan kitab Shahih Al-Bukhari menjadikan pembacanya seolah-olah melihat Ibnu Hajar yang bermahdzab Syafi’i, hidup sejaman dengan Al-Bukhari, duduk di depannya, mendengarkan pelajarannya, mendengar hadits lalu menyerap, mengetahui ilmu-ilmu, sanad-sanad yang shahih dan lemah, serta hikmah-hikmah hadits.

Asy-Syaikh Muqbil Rahimahullah dalam kitabnya Ijabatus Sail menganjurkan para pencari ilmu mempelajarinya. Meskipun kitab ini tidak dianjurkan dibaca bagi pencari ilmu yang pemula namun keberadaanya sangat penting karena dibutuhkan oleh ummat Islam dalam memahami As Sunnah sebagai jalan hidup mereka.

Sunnatullah berlaku, selain Al Qur’an tak ada satu kitab pun karya manusia yang sempurna. Demikian juga dengan Fathul Bari. Pembaca kitab ini mesti berhati-hati manakala menjumpai pembahasan nama-nama dan sifat-sifat Allah agar tidak terjerumus ke dalam metodologi takwil (menafsirkan tidak sesuai dengan teks lafadznya) yang diadopsi penulisnya dari kaidah Asy’ariyyah yang telah ditinggalkan oleh Abul Hasan Al Asy’ary si pencetusnya sendiri, yang tentunya tidak sesuai dengan manhaj salaf.
Wallahu a’lam

Catatan kaki:

[1] Dalam penukilan para Ulama, terkadang disebut secara ringkas dengan AL-FATH atau AL-FATHUJudul Asli: “Fathul Bari Mahkota Ibnu Hajar Al Asqalani Rahimahullah”Sumber: Majalah Asy Syariah halaman 48Vol I/No.40/Desember 2003/Syawwal 1424 H
Ungkapan yang begitu popular adalah sedutan kalam Imam al-Syaukani iaitu seorang ulama yang menulis kitab Nail al-Authar dalam menghuraikan fiqh sunnah. Sewaktu orang menyuruh beliau membuat syarah (huraian) kitab Imam al-Bukhari ini, beliau menyatakan: “Tiada hijrah selepas pembukaan (fath)” (al-Hadis).

Kiasan berdasarkan hadis Nabi SAW yang menunjukkan bahawa kitab Fath al-Bari ini begitu ‘ulung’ dan tidak memerlukan kepada huraian oleh ulama yang lain lagi. Begitulah nilaian sebahagian ulama terhadap kondisi kitab unggul ini. Sayangnya, di Malaysia masih belum ada kuliah atau majlis ilmu yang berupaya menghuraikan kitab ini. Wallahu a’lam.

Kitab Akidah al-Thahawiyah

November 21st, 2007 at 3:55pm

Majoriti ulama mengakui kebenaran hasil karya dari kitab Akidah al-Thahawiyah yang telah diterima oleh para ulama terdahulu hingga sekarang. Itulah antara komentar Syeikh Abdul Wahhab al-Subki terhadap kitab Akidah al-Thahawiyah.
Sememangnya hasil rangkaian kalimat yang telah diusahakan oleh al-Imam Abu Jaafar al-Thahawi ini mengandungi asas-asas akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang diyakini oleh umat Islam kecuali kelompok ahli bidaah yang menyimpang dan menyeleweng.Walapun terdapat beberapa kalimah yang perlu dikoreksi kembali dan hal ini telahpun dilakukan oleh para ulama dalam setiap huraian dan buku-buku mereka.
Namun hal itu, tidaklah menjadikannya sebagai sebuah buku yang salah ataupun mempunyai kesilapan dan juga kekurangan pada pandangan para ulama.Pada edisi terbitan yang lebih terkini, almarhum Syeikh Abdul Aziz bin Baz, mufti Saudi telah melakukan semula semakan dengan bantuan para pembantunya untuk menjelas dan membetulkan kesilapan beberapa kalimat yang terdapat padanya.
Oleh yang sedemikian, jadilah buku akidah ini lebih bermutu dan masih menjadi rujukan para pengkaji ilmu dari dahulu hingga kini.

Kitab Sahih Muslim


February 5th, 2008 at 12:36am

Penghimpun dan penyusun hadis kedua yang terbaik selepas Imam al-Bukhari adalah Imam Muslim. Nama penuhnya ialah Imam Abu al-Husain, Muslim bin al-Hajjaj bin Muslim al-Qusyairi al-Naisaburi. Beliau juga mengarang kitab yang dinamakan al-Jami’ al-Sahih dan lebih terkenal dengan panggilan kitab Sahih Muslim.

Beliau merupakan salah seorang ulama terkemuka yang begitu menonjol dizamannya. Bahkan, kepopularan namanya tetap terpahat di kalangan para penuntut ilmu khususnya dan masyarakat Islam umumnya, hingga kini. Beliau dilahirkan di Naisabur dalam wilayah Iran kini, pada tahun 206H dan meninggal dunia pada tahun 261H. Di antara kitab-kitabnya yang paling hebat, sangat bermanfaat serta masih tetap digunakan sebagai rujukan hingga ke hari ini ialah al-Jami’ al-Sahih, terkenal dengan Sahih Muslim.

Kitab ini merupakan salah satu dari dua kitab yang paling sahih selepas Kitab al-Quran. Kedua kitab Sahih ini diterima baik oleh segenap umat Islam. Imam Muslim telah mengerahkan seluruh kemampuannya untuk meneliti dan mempelajari keadaan para periwayat hadis, menyaring hadis-hadis yang diriwayatkan, membandingkan riwayat riwayat itu antara satu sama lain. Imam Muslim sangat teliti dan begitu berhati-hati dalam menggunakan lafaz-lafaz dan selalu memberikan isyarat jika terdapat sebarang perbezaan antara lafaz-lafaz tersebut.

Usaha yang sedemikian rupa telah menghasilkan sebuah kitab bermutu tinggi dan menjadi rujukan utama oleh umat Islam hingga dekad ini. Bukti kukuh mengenai kehebatan kitab karyanya ini merupakan suatu kenyataan yang dilakukan sendiri oleh Imam Muslim yang telah menyaring segala isi kandungan kitabnya dari ribuan riwayat hadis yang pernah didengarinya dari ratusan ulama sezaman dengannya.
Di dalam hal ini, pernah diceritakan yang ia menyebutkan: “Aku menyusun kitab Sahih ini yang telah disaring dari 300,000 buah hadis.” Diriwayatkan dari Ahmad bin Salamah, dia berkata: “Aku menulis bersama Muslim untuk menyusun kitab Sahihnya itu selama 15 tahun. Kitab itu berisi 12.000 buah hadis.”

Dalam pada itu, Ibn Salah menyebutkan dari Abu Quraisy al-Hafiz, bahawa jumlah hadis Sahih Muslim itu sebanyak 4,000 buah hadis. Kedua pendapat tersebut adalah benar jika dilihat daripada bilangan pertama yang menunjukkan hadis yang telah dimasukkan ke dalamnya merupakan hadis-hadis yang berulang-ulang disebut, sedangkan bilangan kedua hanya menjelaskan hadis-hadis yang tidak disebut secara berulang.
Imam Muslim menyebutkan di dalam Sahihnya: “Aku gabungkan di sini, bukanlah setiap hadis yang sahih menurut pandanganku. Aku hanya menghimpunkan hadis-hadis yang telah disepakati oleh para ulama hadis.”

Imam Muslim pernah berkata, sebagai ungkapan gembira atas anugerah Allah yang telah diterimanya: “Apabila penduduk bumi ini menulis hadis selama 200 tahun, maka usaha mereka hanya akan berkisar pada kitab ini.” Ketelitian dan sikap berwaspada Imam Muslim daripada melakukan sebarang kesilapan dan kesalahan terhadap hadis yang diriwayatkan dalam Sahihnya dapat dilihat dari perkataannya seperti berikut: “Aku tidak meletakkan sesebuah hadis di dalam kitabku ini, melainkan ia mempunyai hujah dan alasan. Begitu juga, aku tidak akan menggugurkan sesebuah hadis daripadanya melainkan terdapat hujah dan alasan pula.”

Imam Muslim di dalam penulisan Sahihnya tidak membuat judul setiap bab secara terperinci. Judul-judul kitab dan bab yang didapati pada sebahagian naskhah Sahih Muslim yang sudah dicetak, sebenarnya telah dibuat oleh para penyemak yang muncul kemudian. Di antara para penyemak (pentahqiq) yang paling baik dalam menyusun semula judul bab dengan lebih bersistematik adalah Imam al-Nawawi sebagaimana di dalam kitab Syarahnya.

Wallahu A’lam. Semoga Allah merahmatinya dan kita semua. Amin!

Kitab Musnad


December 9th, 2007 at 1:30am

Musnad ialah karangan yang mengandungi hadis-hadis Rasulullah berdasarkan riwayat seseorang sahabat, tabiin dan generasi selepas mereka yang meriwayatkannya. Tidak diambil kira bagi hadis yang dikumpulkan itu sama ada ia bertaraf sahih, hasan atau daif. Nama-nama periwayat dari kalangan sahabat, tabiin itu disusun sama ada mengikut tertib keislaman mereka, mengikut kemasyhuran mereka, mengikut susunan huruf abjad ataupun dengan cara mengikut kabilah, negara kelahiran serta nama keluarga dan sebagainya.

Para ulama berpendapat, kitab musnad yang paling ulung di zaman keemasan Islam adalah kitab Musnad karangan Imam Ahmad bin Hanbal (w241H), kitab ini mengandungi 30-40 ribu buah hadis. Imam Ahmad yang menulis musnad telah mendahulukan hadis-hadis Abu Bakar daripada hadis-hadis sahabat yang lain. Antara cara penyusunan musnadnya ialah seperti berikut:

1. Memuatkan hadis-hadis tentang 10 orang sahabat yang dijamin masuk syurga, atau tentang khalifah yang empat.
2. Mengikut siapa yang lebih dahulu yang memeluk Islam.
3. Melihat siapakah ahli Badar/ Hudaibiah dahulu.
4. Melihat siapakah yang memeluk Islam terlebih dahulu ketika pembukaan Kota Mekah.
5. Melihat lelaki dahulu perlu diutamakan, manakala dari kalangan wanita pula isteri-isteri nabi diutamakan terlebih dahulu.
6. Melihat pada kabilah (Kabilah Bani Hasyim didahulukan).

Di dalam musnad juga terdapat hadis yang tidak boleh diambil kira, kerana ia cuma mengumpulkan sebanyak mungkin hadis-hadis yang menerangkan tentang sesuatu perkara. Namun begitu, musnad yang paling sahih adalah Musnad Imam Ahmad kerana beliau telah menyaring hadis-hadisnya terlebih dahulu sekalipun terdapat 3 buah hadis Syiah di dalamnya. Kebanyakan ulama salaf yang lain turut menulis hadis-hadis dalam bentuk musnad yang sama manhajnya.

Antara kitab musnad yang lain telah dihasilkan pada zaman itu oleh para ulama salaf seperti:

i) Musnad - Abu Dawud Al-Thayalisi (w203H)
ii) Musnad - ‘Ubaidullah bin Musa (w213H)
iii) Musnad - Abu Bakar al-Humaidi (w219H)
iv) Musnad - Yahya bin al-Hammani (w228H)
v) Musnad - Musaddad bin Musarhad al-Basri (w228H)
vi) Musnad - Nu’aim bin Hammad al-Khuza’ie (w228H)
vii) Musnad - Ali bin al-Ja’d al-Jauhari (w230H)
viii) Musnad - Ishaq bin Rahawaih (w238H)
ix) Musnad - Ahmad bin Mani’ al-Baghawi (w244H)
x) Musnad - Abd bin Humaid al-Kusi (w249H)
xi) Musnad - Yaakub Ibn Syaibah al-Sadusi (w262H)
xii) Musnad - Baqi bin Makhlad al-Andalusi (w276H)
xiii) Musnad - al-Harits bin Muhammad bin Abu Usamah (w282H)
xiv) Musnad - al-Bazzar Abi Bakar Ahmad bin ‘Amr bin Abd al-Khaliq (w292H)
xv) Musnad - al-Hasan bin Sufian (w303H)
xvi) Musnad - Abu Ya’la al-Mausili (w307H)

Begitu banyak kitab musnad ini yang dikarang, tetapi adakah kita pernah melihat, membuka, membelek dan memilikinya?

Semoga Allah merahmati kita semua, Amin!