Blog ini adalah blog yang menjadi ganti kepada blog www.mohdfikri.com/blog yang bermasalah setelah 2 tahun beroperasi. Segala bahan-bahannya dipindahkan ke sini. Harap maklum!

Jumaat, 7 Ogos 2009

Kitab Ma’rifat ‘Ulum al-Hadits


February 20th, 2008 at 8:48am

Kitab ini telah dihasilkan oleh al-Imam, al-Hafiz, al-Allamah, Muhammad bin Abdullah bin Muhammad al-Dhabiyyi, al-Naisaburi, al-Hakim Abu Abdullah, juga terkenal dengan gelaran singkat Ibn al-Bayyi’ atau al-Hakim al-Naisaburi. Beliau dilahirkan di Naisabur, Iran pada tahun 321H dan mempelajari hadis sejak kecil daripada bapa dan juga bapa saudaranya.

Kemudiannya beliau turut mengembara dalam mempelajari hadis di serata pelusuk wilayah Islam seperti Iraq, Mada`in, Khurasan, Hijaz dan banyak lagi. Beliau mendengar hadis daripada sejumlah besar ulama hadis yang mencapai angka 2000 orang syeikh.

Beliau meriwayatkan hadis daripada bapanya, Abu al-‘Abbas al-Asomm, Muhammad bin Salih bin Hani`, Abu Abdillah al-Akhram, Abu Ali al-Naisaburi dan selain mereka. Hadisnya pula diriwayatkan pula oleh beberapa tokoh hadis yang hebat seperti al-Daruquthni, al-Baihaqi, Abu Zar al-Harawi, Ibn Hibban dan ramai lagi.

Beliau berpegang kepada mazhab Fiqh al-Syafii daripada gurunya Abu Sahl al-Sa’luki dan Abu Ali bin Abu Hurairah. Beliau juga merupakan salah seorang pakar Qiraat yang mempelajarinya daripada Muhammad bin Abu Mansur al-Saram dan Abu al-Naqar al-Kufi.

Beliau menjawat jawatan kadi (hakim) di Naisabur dan diminta untuk memegang jawatan yang sama di Jurjan tetapi beliau menolaknya. Beliau merupakan salah seorang ahli perunding atau duta diplomasi di antara kerajaan Bani Buwaih dan Daulah Samaniyah.

Hasil karyanya menurut Ibn Asakir mencapai angka 2,500 buah jilid dalam pelbagai tajuk. Beliau merupakan salah seorang yang menjadi petanda kehebatan Allah Taala di muka bumi ini dengan karang yang luar biasa banyaknya.

Dalam hal ini beliau menceritakan: “Aku telah minum air zamzam dan berdoa semoga Allah menganugerahkan kepadaku kepandaian mengarang dengan begitu baik.” [lihat Thabaqat al-Huffaz].

Di antara kitab karangannya yang masyhur ialah:
  1. Tarikh Naisabur
  2. Al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain
  3. Al-Madkhal ila Makrifat al-Sahih
  4. Fadhail al-Syafii
  5. Al-Iklil
  6. Tasmiyah man Ukrija Lahum al-Bukhari wa Muslim
  7. Makrifah Ulum al-Hadits
Beliau meninggal dunia pada tahun 405H selepas keluar daripada tempat permandian dalam usia yang begitu lanjut.

Kitab Makrifah Ulum al-Hadits

Kitab ini dinyatakan oleh al-Kettani dalam kitabnya Risalah al-Mustathrafah bahawa ia tidak disusun dalam bentuk yang begitu baik. Namun kitab ini boleh di dapati dalam susunan yang agak baik cetakan daripada Dar ibn Hazm keluaran tahun 1424H dengan semakan oleh Ahmad bin Faris al-Salum pada bahagian nota kakinya dengan komentar daripada dua orang al-Hafiz iaitu al-Mu`tamin al-Saji dan Ibn al-Solah.
Catatan hadisnya juga telah diberikan nombor indeks dengan bilangan hadis sebanyak 592 buah hadis dengan cetakan yang begitu baik.Sebuah kajian penyelidikan di peringkat sarjana yang dibentangkan di universiti Umm al-Qura pada tahun 1408 oleh Abdullah bin Sulaim bin Salamah al-So’idi di bawah seliaan Mansur bin ‘Aun al-‘Abdali yang bertajuk “Metod al-Hakim al-Naisaburi di dalam kitabnya Makrifah Ulum al-Hadits dan dikeluarkan hadis-hadisnya.”
Kitab ini merupakan kitab yang dikira sebagai paling awal ditulis berkaitan ilmu Musthalah hadis yang dibawa oleh pengarang daripada pelbagai kaedah yang dilihatnya dapat memberikan keteguhan di dalam ilmu hadis.

Beliau telah menjadikan manhaj penulisannya sepertimana berikut di dalam kitab ini:
Beliau mengemukakan pada permulaannya tentang kelebihan para pengkaji hadis dan orang yang berusaha mengumpulkannya adalah orang yang dapat memanfaatkan pelbagai ilmu yang terkandung di dalamnya.

Seterusnya beliau menerangkan tentang ilmu musthalah hadis yang dibahagikan kepada 52 jenis dengan ditampilkan contoh-contoh bagi setiap bahagian tersebut dengan sanadnya hingga mencapai riwayat bersanad ini sebanyak 480 buah riwayat.

Berkata al-Hakim di dalam mukadimahnya: “Segala puji bagi Allah… adapun selepas itu: Setelah aku melihat bertebarannya perbuatan bidaah di zaman kita ini dan kurangnya pengetahuan manusia terhadap ilmu asas berkaitan sunnah, dengan begitu kurangnya mereka menuliskan hadis-hadis serta lebih banyak mencari sesuatu yang tidak berfaedah dan melalaikan.

Situasi ini membuatkan aku berusaha untuk menulis sebuah buku yang ringan dengan isi kandungan berkaitan kepelbagaian ilmu hadis. Buku ini amat diperlukan untuk mereka yang mencari asas berkaitan hadis dan mereka yang mahu menulis berkaitan dengan ilmu hadis. Aku lebih menekankan di dalamnya bentuk penulisan ringkas tanpa isi yang panjang dan berjela-jela…”

Sekian… wassalam

2 ulasan: