Blog ini adalah blog yang menjadi ganti kepada blog www.mohdfikri.com/blog yang bermasalah setelah 2 tahun beroperasi. Segala bahan-bahannya dipindahkan ke sini. Harap maklum!

Jumaat, 7 Ogos 2009

Kitab Musnad


December 9th, 2007 at 1:30am

Musnad ialah karangan yang mengandungi hadis-hadis Rasulullah berdasarkan riwayat seseorang sahabat, tabiin dan generasi selepas mereka yang meriwayatkannya. Tidak diambil kira bagi hadis yang dikumpulkan itu sama ada ia bertaraf sahih, hasan atau daif. Nama-nama periwayat dari kalangan sahabat, tabiin itu disusun sama ada mengikut tertib keislaman mereka, mengikut kemasyhuran mereka, mengikut susunan huruf abjad ataupun dengan cara mengikut kabilah, negara kelahiran serta nama keluarga dan sebagainya.

Para ulama berpendapat, kitab musnad yang paling ulung di zaman keemasan Islam adalah kitab Musnad karangan Imam Ahmad bin Hanbal (w241H), kitab ini mengandungi 30-40 ribu buah hadis. Imam Ahmad yang menulis musnad telah mendahulukan hadis-hadis Abu Bakar daripada hadis-hadis sahabat yang lain. Antara cara penyusunan musnadnya ialah seperti berikut:

1. Memuatkan hadis-hadis tentang 10 orang sahabat yang dijamin masuk syurga, atau tentang khalifah yang empat.
2. Mengikut siapa yang lebih dahulu yang memeluk Islam.
3. Melihat siapakah ahli Badar/ Hudaibiah dahulu.
4. Melihat siapakah yang memeluk Islam terlebih dahulu ketika pembukaan Kota Mekah.
5. Melihat lelaki dahulu perlu diutamakan, manakala dari kalangan wanita pula isteri-isteri nabi diutamakan terlebih dahulu.
6. Melihat pada kabilah (Kabilah Bani Hasyim didahulukan).

Di dalam musnad juga terdapat hadis yang tidak boleh diambil kira, kerana ia cuma mengumpulkan sebanyak mungkin hadis-hadis yang menerangkan tentang sesuatu perkara. Namun begitu, musnad yang paling sahih adalah Musnad Imam Ahmad kerana beliau telah menyaring hadis-hadisnya terlebih dahulu sekalipun terdapat 3 buah hadis Syiah di dalamnya. Kebanyakan ulama salaf yang lain turut menulis hadis-hadis dalam bentuk musnad yang sama manhajnya.

Antara kitab musnad yang lain telah dihasilkan pada zaman itu oleh para ulama salaf seperti:

i) Musnad - Abu Dawud Al-Thayalisi (w203H)
ii) Musnad - ‘Ubaidullah bin Musa (w213H)
iii) Musnad - Abu Bakar al-Humaidi (w219H)
iv) Musnad - Yahya bin al-Hammani (w228H)
v) Musnad - Musaddad bin Musarhad al-Basri (w228H)
vi) Musnad - Nu’aim bin Hammad al-Khuza’ie (w228H)
vii) Musnad - Ali bin al-Ja’d al-Jauhari (w230H)
viii) Musnad - Ishaq bin Rahawaih (w238H)
ix) Musnad - Ahmad bin Mani’ al-Baghawi (w244H)
x) Musnad - Abd bin Humaid al-Kusi (w249H)
xi) Musnad - Yaakub Ibn Syaibah al-Sadusi (w262H)
xii) Musnad - Baqi bin Makhlad al-Andalusi (w276H)
xiii) Musnad - al-Harits bin Muhammad bin Abu Usamah (w282H)
xiv) Musnad - al-Bazzar Abi Bakar Ahmad bin ‘Amr bin Abd al-Khaliq (w292H)
xv) Musnad - al-Hasan bin Sufian (w303H)
xvi) Musnad - Abu Ya’la al-Mausili (w307H)

Begitu banyak kitab musnad ini yang dikarang, tetapi adakah kita pernah melihat, membuka, membelek dan memilikinya?

Semoga Allah merahmati kita semua, Amin!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan