Blog ini adalah blog yang menjadi ganti kepada blog www.mohdfikri.com/blog yang bermasalah setelah 2 tahun beroperasi. Segala bahan-bahannya dipindahkan ke sini. Harap maklum!

Jumaat, 7 Ogos 2009

Kitab Sunan Ibn Majah


February 19th, 2008 at 9:26am

Nama penuh Ibn Majah ialah Muhammad bin Yazid bin Abdullah bin Majah al-Qazwini. Seorang yang bertaraf al-Hafiz dalam bidang hadis, pentafsir al-Quran dan juga seorang sejarawan. Beliau merupakan seorang pakar hadis di Qazwin, Iran yang dilahirkan pada tahun 207 hijrah.

Semenjak kecil beliau terdedah dengan bidang keilmuan dan mengembara ke serata ceruk rantau kota-kota Islam seperti Basrah,Baghdad, Kufah, Makkah, Syam, Rayy dan Mesir. Beliau mendengar periwayatan hadis daripada ramai ulama yang hebat di zamannya seperti Abu Bakar Ibnu Syaibah, Hisyam Ibn Ammar, Ibrahim Ibn al-Munzir dan ramai lagi ulama yang lain.

Anak-anak muridnya pula ialah Abu al-Hasan al-Qatthan yang meriwayatkan ‘Sunan’nya, Muhammad Ibn Isa al-Abhari, Ibrahim Ibn Dinar, Ibnu Sibawaih dan sebagainya.Beliau merupakan seorang tokoh yang terkenal dalam bidang hadis dan terhebat di bidang penghafalan dan ketekunan dalam meriwayatkannya. Sebagaimana kata-kata Abu Ya’la al-Khalili al-Qazwini: “Beliau adalah seorang yg sangat tsiqah (dipercayai), disepakati terhadap riwayatnya dan amat diperlukan serta seorang yang kuat hafalan”.

Beliau mengarang kitab ‘Sunan’nya yg terkenal dan turut mempunyai sebuah kitab Tafsir al-Quran. Selain itu, beliau juga mengarang kitab sejarah para tokoh sejak zaman para sahabat ridhwanuLlah ‘alaihim sehinggalah ke zamannya, dan kitab itu dinamakan Tarikh Qazwin (sejarah Qazwin) dan juga sebuah lagi kitab sejarah yg dinamakan Tarikh al-Khulafa.

Beliau wafat di Qazwin pada tahun 273 hijrah dan yang menguruskan jenazahnya ialah dua orang saudaranya iaitu Abu Bakar dan Abdullah serta anak lelakinya iaitu Abdullah.

Kitab ‘Sunan’ Ibn Majah

Kitab sunannya merupakan sebuah kitab yang cukup terkenal di lapangan hadis dunia Islam dan termasuk di dalam koleksi 6 buah kitab hadis yang hebat.Beliau membahagikan susunannya kepada pembahagian kitab dan bab, kitab atau pun tajuk besar di dalam ‘Sunan’nya dijadikan hingga 32 kitab dan jumlah bab di dalamnya pula mencapai kepada 1500 bab.

Di dalam ‘Sunan’nya mengandungi 4000 buah hadis mengikut tertib ilmu fiqh. Manakala setiap hadisnya pula adalah yang koleksi terbaik dan tersahih sebagai hujah dari sunnah untuk diikuti dan dilaksanakan oleh setiap individu muslim. Namun kitabnya ini diletakkan sebagai kitab yang keenam selepas kitab sunan yang lain yang bermula dari kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim, Sunan Abu Daud, al-Nasaii, al-Tirmizi dan barulah kitab beliau.

Taraf sesebuah hadis di dalam ‘Sunan’nya, terdiri dari martabat hadis yang sahih, hasan, dhaif dan bahkan terdapat juga bertaraf hadis munkar dan maudhuk (palsu) tetapi terlalu sedikit untuk dibicarakan. Jika dinisbahkan kepada kitab sunan yang lain, hadis dhaif amat banyak terdapat di dalam kitabnya, sehingga al-Hafiz Abu Yusuf al-Mizzi memberikan komentarnya: “Setiap apa yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah secara sendirian (dan tiada dalam periwayatan hadis Imam yang lain) dari kalangan lima orang imam tersebut adalah dikira sebagai dhaif”.

Maka disebabkan hal ini, seorang ulama telah mengarang kitab yang berjudul ‘Misbah al-Zujajah fi Zawa’id Ibn Majah’. Pengarang kitab tersebut ialah al-Hafiz Syihabuddin Ahmad ibn Abu Bakr al-Kanani al-Busiri al-Masri (w. 840H) yang telah menerangkan di dalam kitabnya setiap hadis yang ditambah dan tidak terdapat dari kalangan kitab para Imam hadis yang lima.

Setiap hadis itu dikupas satu persatu untuk menentukan kesahihannya atau hanya setakat bertaraf hasan atau dikira sebagai hadis dhaif dan seterusnya dikira sebagai hadis palsu yang perlu ditinggalkan. Sebuah kitab lain dengan tajuk yang sama iaitu Misbah al-Zujajah ‘ala Sunan Ibn Majah pula telah dihasilkan oleh Imam al-Suyuthi yang menghuraikan setiap hadis yang terkandung di dalamnya.

Maka dalam keadaan ini sebagaimana yang kita fahami dari kata al-Hafiz al-Mizzi dan dikuatkan lagi dengan pendapat Imam Ibnu Hajar (w.852H) yang menyatakan bahawa kitab Sunan Ibnu Majah ini terlalu banyak hadis dhaif dari periwayatannya secara sendirian tanpa ada kesepakatan dengan Imam hadis yang lain. Oleh itu, tidaklah sewajarnya seseorang itu menjadikan hujah dengan hadis di dalam kitabnya yang diriwayatkan oleh beliau secara sendirian, melainkan setelah dikaji dan diteliti secara terperinci lalu ditentukan hadis tersebut sebagai bertaraf sahih, hasan atau pun dhaif.

Kritikan hadis dari kitab hadis beliau, ini banyak dibuat oleh para huffaz yang lain seperti al-Hafiz Abu Yusuf al-Mizzi, al-Hafiz Ibn al-Jauzi dan ramai lagi. Mereka menyatakan sedemikian kerana setelah kajian dibuat terdapat di dalamnya beberapa orang periwayat yang dituduh sebagai penipu dan mencipta hadis-hadis palsu.

Ini dapat dijelaskan dari kritikan oleh al-Hafiz Ibnu al-Jauzi yang menyatakan bahawa terdapat 30 buah hadis dari kitab beliau adalah dikira sebagai palsu. Begitu juga yang dinyatakan oleh Abu Zur’ah bahawa sekiranya sahih kajiannya sendiri mendapati bahawa terdapat 30 buah hadis yang dikira hadis yang tertolak, manakala hadis yang tidak dapat dijadikan hujah pula begitu banyak dan dikira mencapai sekitar 1000 buah hadis.

Hadis yang diriwayatkan secara sendirian (hadis munfarid) oleh Ibn Majah berjumlah 1339 buah hadis.Namun, hal ini dibela serta ditolak oleh Imam al-Suyuthi yang menyatakan bahawa bilangan hadis palsu itu tidak sampai ke tahap yang disebutkan itu di dalam kitab beliau yang berjudul al-Ta’aqqubat dan hadis yang dipertikaikan adalah hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Ismail bin Muhammad al-Thalhi.

Semoga Allah merahmatinya dan kita semua yang mengikuti jejak langkahnya. Allahumma amin!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan