Blog ini adalah blog yang menjadi ganti kepada blog www.mohdfikri.com/blog yang bermasalah setelah 2 tahun beroperasi. Segala bahan-bahannya dipindahkan ke sini. Harap maklum!

Jumaat, 7 Ogos 2009

Kitab Masyari’ al-Asywaq ila Masari’ al-‘Usyaq fi Fadha`il al-Jihad


June 10th, 2008 at 4:24pm

Kitab ini dikarang oleh Ibn al-Nuhas al-Dimasyqi al-Dumyathi atau nama penuhnya Abu Zakaria, Ahmad bin Ibrahim bin Muhammad, al-Syafi’I al-Dimaysqi al-Dumyathi. Lebih dikenali dengan kuniyah Ibn al-Nuhas.

Beliau meninggal dunia sebagai seorang syuhada di kawasan Dumyath (Damietta) di Utara Mesir pada tahun 814H / 1411M. Kitabnya yang ringkas ini ditulis berkaitan hukum jihad, kelebihan dan galakan untuk melaksanakannya. Tajuknya di dalam bahasa Arabnya dinamakan oleh beliau dengan judul:

مشارع الأشواق إلى مصارع العشاق، ومثير الغرام إلى دار السلام
Tajuknya Masyari’ al-Asywaq ila Masari’ al-‘Usyaq lebih kurang maknanya “Laluan Pencinta ke Persada Perindu.”

Imam Ibn al-Nuhas hidup dalam situasi jihad yang sedang menggamit setiap individu muslim dalam masyarakatnya. Beliau dibesarkan di Damsyik, Syria dalam suasana jihad yang tumbuh mekar dalam masyarakatnya dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Kemudiannya dia telah berpindah ke wilayah Dumyath hampir belasan tahun menetap disana.
Beliau terus berjuang dengan penuh keikhlasan dalam mempertahankan bumi Islam dari dijajah oleh tentera Salib Kristian. Beliau sendiri yang mengetuai gerakan jihad dalam masyarakatnya bagi menyekat kemaraan pihak Salib Kristian yang ingin menguasai kawasan tersebut dari tangan umat Islam.
Allah Taala telah memberikannya nikmat syahid dengan terkorbannya beliau dalam satu pertempuran yang dinamakan Medan al-Thinah (الطينة) berhampiran dengan kota Dumyath pada tahun 814H / 1411M. Dengan ini membuktikan bahawa imam Ibn al-Nuhas menghimpunkan di antara teori ilmu dan praktikalnya dan beliau menyatakan tentang keperluan jihad, di samping meneruskan usaha dan praktis jihad itu sendiri hingga mencapai syahid.

Oleh yang demikian, kitabnya ini mempunyai kesan emosi tersendiri dalam menyampaikan uslub jihad sepertimana diketahui bahawa seorang yang menulis berpandukan pengalamannya membangkitkan situasi berbeza kepada para pembacanya. Keikhlasan beliau dalam usaha menegakkan syiar jihad berterusan dari mula penulisannya hingga kini.

Beliau menulis kitab ini dalam dua situasi yang meredam jiwa, pertama dalam situasi mengembangkan ilmu syariat dan kewajipan jihad dan yang keduanya dalam situasi berkobarnya semangat mereka yang inginkan gelaran syuhada. Ibn al-Nuhas berjaya menjadikannya sebagai satu realiti jihad di dalam kitabnya ini dengan gambaran yang cukup menarik.

Pendorong utama kepada imam Ibn al-Nuhas untuk menyiapkan karyanya ini adalah disebabkan kepada kewajipan yang perlu dilakukan terhadap kaum muslimin di zamannya. Serangan bertali arus terhadap umat Islam dari arah Timur oleh pihak Tartar (Mongol) dan dari arah Barat pula oleh tentera Salib Kristian.
Namun, kaum muslimin semakin lemah semangat dengan serangan gencar tersebut, mereka begitu berat untuk berjihad mempertahankan bumi tanah tumpah mereka. Jsuteru itu, Ibn al-Nuhas cuba memainkan peranan utama untuk membangkitkan semula kelangsungan jihad ini.

Lantas beliau menulis kitab ini semata-mata untuk menaikkan semula semangat kaum muslimin yang semakin goyah bagi mencapai matlamat jihad yang berterusan hingga hari Kiamat. Beliau menulis kitab ini sekitar 10 bulan dalam usaha menyiapkannya dan dua tahun kemudian beliau mendapat gelaran syahid di Medan al-Thinah (الطينة).

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam kitabnya Inba` al-Ghumar bi Abna` al-‘Umr menceritakan tentang medan pertempuran ini: “Pada bulan Rabi’ al-Akhir pada tahun 814H, satu pasukan tentera Salib dari Genoa (Itali) telah berjaya mara hingga ke Iskandariyah (Alexandaria) dan memerangi penduduknya dan sebahagian besarnya ditawan dan dibunuh. Pasukan Salib Genoa ini terus mara hingga ke al-Thinah (الطينة) dengan menawan penduduknya termasuk wanita serta kanak-kanak.

Maka keluarlah pasukan jihad dari kalangan penduduk Dumyath untuk menghulurkan bantuan kepada penduduk Thinah yang dipimpin oleh Muhyiddin Ibn al-Nuhas yang sering menyemarakkan semangat jihad di benteng Dumyath dan beliau mempunyai banyak kelebihan dari aspek ilmu dan amal. Beliau turut mengarang sebuah kitab yang berkaitan dengan hukum jihad. Beliau sendiri turut terkorban syahid dalam pertempuran tersebut dengan penuh keberanian tanpa sedikitpun mundur ke belakang.”

Kebanyakan ulama yang membaca hasil karangannya ini bersepakat bahawa kitab karangan beliau dalam lapangan jihad ini adalah sebuah kitab jihad yang terbaik di kalangan kitab-kitab jihad karya ulama yang lain. Kandungannya mempunyai kepelbagaian isi maklumat dan faedah yang menarik dalam bab jihad.

Ibn al-Nuhas sendiri melihat bahawa kitab ini terlalu panjang untuk dibaca dan beliau cuba meringkaskannya semasa hidupnya dengan dinamakan kitab ringkasan itu sebagai Mukhtasar Masyari’ al-Asywaq.

Disebabkan kitab ini mendapat perhatian di kalangan ulama berkaitan bab jihad ini. Mereka juga turut meringkaskannya sebagaimana yang dilakukan oleh Syeikh Mahmud al-‘Alim al-Manzili (1311H) yang menamakan kitabnya dengan judul Fukhah al-Azwaq fi Ikhtisar Masyari’ al-Asywaq.

* Semoga Allah memberikan rahmat kepada kita semua. Amin ya Rabb

Tiada ulasan:

Catat Ulasan