Blog ini adalah blog yang menjadi ganti kepada blog www.mohdfikri.com/blog yang bermasalah setelah 2 tahun beroperasi. Segala bahan-bahannya dipindahkan ke sini. Harap maklum!

Jumaat, 7 Ogos 2009

Kitab Sahih Muslim


February 5th, 2008 at 12:36am

Penghimpun dan penyusun hadis kedua yang terbaik selepas Imam al-Bukhari adalah Imam Muslim. Nama penuhnya ialah Imam Abu al-Husain, Muslim bin al-Hajjaj bin Muslim al-Qusyairi al-Naisaburi. Beliau juga mengarang kitab yang dinamakan al-Jami’ al-Sahih dan lebih terkenal dengan panggilan kitab Sahih Muslim.

Beliau merupakan salah seorang ulama terkemuka yang begitu menonjol dizamannya. Bahkan, kepopularan namanya tetap terpahat di kalangan para penuntut ilmu khususnya dan masyarakat Islam umumnya, hingga kini. Beliau dilahirkan di Naisabur dalam wilayah Iran kini, pada tahun 206H dan meninggal dunia pada tahun 261H. Di antara kitab-kitabnya yang paling hebat, sangat bermanfaat serta masih tetap digunakan sebagai rujukan hingga ke hari ini ialah al-Jami’ al-Sahih, terkenal dengan Sahih Muslim.

Kitab ini merupakan salah satu dari dua kitab yang paling sahih selepas Kitab al-Quran. Kedua kitab Sahih ini diterima baik oleh segenap umat Islam. Imam Muslim telah mengerahkan seluruh kemampuannya untuk meneliti dan mempelajari keadaan para periwayat hadis, menyaring hadis-hadis yang diriwayatkan, membandingkan riwayat riwayat itu antara satu sama lain. Imam Muslim sangat teliti dan begitu berhati-hati dalam menggunakan lafaz-lafaz dan selalu memberikan isyarat jika terdapat sebarang perbezaan antara lafaz-lafaz tersebut.

Usaha yang sedemikian rupa telah menghasilkan sebuah kitab bermutu tinggi dan menjadi rujukan utama oleh umat Islam hingga dekad ini. Bukti kukuh mengenai kehebatan kitab karyanya ini merupakan suatu kenyataan yang dilakukan sendiri oleh Imam Muslim yang telah menyaring segala isi kandungan kitabnya dari ribuan riwayat hadis yang pernah didengarinya dari ratusan ulama sezaman dengannya.
Di dalam hal ini, pernah diceritakan yang ia menyebutkan: “Aku menyusun kitab Sahih ini yang telah disaring dari 300,000 buah hadis.” Diriwayatkan dari Ahmad bin Salamah, dia berkata: “Aku menulis bersama Muslim untuk menyusun kitab Sahihnya itu selama 15 tahun. Kitab itu berisi 12.000 buah hadis.”

Dalam pada itu, Ibn Salah menyebutkan dari Abu Quraisy al-Hafiz, bahawa jumlah hadis Sahih Muslim itu sebanyak 4,000 buah hadis. Kedua pendapat tersebut adalah benar jika dilihat daripada bilangan pertama yang menunjukkan hadis yang telah dimasukkan ke dalamnya merupakan hadis-hadis yang berulang-ulang disebut, sedangkan bilangan kedua hanya menjelaskan hadis-hadis yang tidak disebut secara berulang.
Imam Muslim menyebutkan di dalam Sahihnya: “Aku gabungkan di sini, bukanlah setiap hadis yang sahih menurut pandanganku. Aku hanya menghimpunkan hadis-hadis yang telah disepakati oleh para ulama hadis.”

Imam Muslim pernah berkata, sebagai ungkapan gembira atas anugerah Allah yang telah diterimanya: “Apabila penduduk bumi ini menulis hadis selama 200 tahun, maka usaha mereka hanya akan berkisar pada kitab ini.” Ketelitian dan sikap berwaspada Imam Muslim daripada melakukan sebarang kesilapan dan kesalahan terhadap hadis yang diriwayatkan dalam Sahihnya dapat dilihat dari perkataannya seperti berikut: “Aku tidak meletakkan sesebuah hadis di dalam kitabku ini, melainkan ia mempunyai hujah dan alasan. Begitu juga, aku tidak akan menggugurkan sesebuah hadis daripadanya melainkan terdapat hujah dan alasan pula.”

Imam Muslim di dalam penulisan Sahihnya tidak membuat judul setiap bab secara terperinci. Judul-judul kitab dan bab yang didapati pada sebahagian naskhah Sahih Muslim yang sudah dicetak, sebenarnya telah dibuat oleh para penyemak yang muncul kemudian. Di antara para penyemak (pentahqiq) yang paling baik dalam menyusun semula judul bab dengan lebih bersistematik adalah Imam al-Nawawi sebagaimana di dalam kitab Syarahnya.

Wallahu A’lam. Semoga Allah merahmatinya dan kita semua. Amin!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan