Blog ini adalah blog yang menjadi ganti kepada blog www.mohdfikri.com/blog yang bermasalah setelah 2 tahun beroperasi. Segala bahan-bahannya dipindahkan ke sini. Harap maklum!

Jumaat, 7 Ogos 2009

Kitab Sunan al-Nasaii / al-Nasaie


February 12th, 2008 at 9:20am

Kitab ini dikarang oleh al-Imam al-Hafizh al-Tsabat Syeikh al-Islam al-Naqid al-Hadits, Abu ‘Abd al-Rahman Ahmad bin Syu’aib bin ‘Ali bin Sinan bin Bahr al-Khurasani al-Nasaii. Beliau dilahirkan di Daerah Nasa pada tahun 215H dan telah menuntut ilmu sejak kecil lagi dengan pergi menuntut kepada Qutaibah pada tahun 230H dan tinggal di Madinah, antara gurunya yang lain ialah Ishaq bin Rahawaih dan Hisyam bin ‘Ammar.

Beliau merupakan seorang yang pintar dan mudah memahami setiap ilmu yang disampaikan. Berpengetahuan luas serta mahir dalam kajian ilmu Tokoh serta banyak menulis. Di samping itu beliau turut mengembara untuk menambahkan ilmu pengetahuan hingga ke Khurasan, Hijaz,Mesir, Iraq, Syam dan kemudiannya menetap di Mesir. Ketika di sana beliau menjadi tumpuan para penuntut yang ingin menadah ilmu daripada beliau. Antara muridnya yang terkenal ialah Abu Bisyr al-Dulabi, Abu Jaafar al-Thahawi, Abu ‘Ali al-Nisaburi dan ramai lagi.

Berkata al-Hafizh Ibn Thahir, aku bertanyakan Sa’ad bin ‘Ali al-Zanjani tentang seorang lelaki yang dia nyatakan sebagai seorang yang Tsiqah (dipercayai). Aku menjelaskan bahawa lelaki tersebut telah dilemahkan (Dha’if) periwayatannya oleh al-Nasaii. Dia menjawab: “Wahai anakku, sesungguhnya Abu ‘Abd al-Rahman (al-Nasaii) itu, syaratnya kepada seseorang periwayat hadis adalah lebih ketat daripada syarat yang ditetapkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Aku menjawab: Benarlah begitu!

Berkata al-Hakim: “Ungkapan al-Nasaii itu dalam topik Fiqh Hadis begitu banyak dan apa yang terkandung di dalam sunannya itu amat menakjubkan daripada keelokan bahasanya.” Ibn al-Atsir menyatakan di dalam permulaan Jami’ al-Usulnya: “(al-Nasaii) ini adalah seorang yang bermazhab Syafii dan mempunyai karya berkaitan Bab Haji dalam mazhab Syafii. Seorang yang begitu warak dan menjaga kehormatan dirinya. Diceritakan ketika beliau ingin belajar daripada al-Harits bin Miskin dalam keadaan berpakaian yang tidak disukai oleh al-Harits dengan kopiah yang menyerupai ‘pengintip’.”

“Sedangkan al-Harits ketika itu, begitu bimbangkan pertikaiannya dengan pihak kerajaan dan turut merasa bimbang dengan kehadiran beliau (al-Nasaii) sebagai pengintip kerajaan di dalam majlis ilmunya. Lantas beliau dihalang daripada memasuki mejlis tersebut. al-Nasaii segera duduk di belakang pintu dan mendengar majlis ilmu tersebut. Setiap periwayatan yang diambil daripada al-harits pasti dikatanya dengan ungkapan: “Berkata al-Harits bin Miskin dengan bacaan kepadanya dan aku mendengar.”

Berkata Ma’mun al-Misri al-Muhaddits: “Kami keluar menuju ke Tarsus dengan al-Nasaii pada tahun al-Fida. Lalu berkumpullah sekumpulan tokoh seperti Abdullah bin Ahmad bin Hanbal, Muhammad bin Ibrahim, Abu al-Azan dan kesemua mereka bermesyuarat dengan memilih orang yang paling baik dalam kajian tokoh ulama. Lalu mereka bersepakat untuk mengangkat Abu Abd al-Rahman al-Nasaii, lantas mereka semua menulis dengan pencalonannya.”
Berkata Abu al-Hasan al-Daruquthni yang memujinya: “Abu Abd al-Rahman al-Nasaii adalah seorang tokoh ulung di kalangan ulama yang menjadi sebutan di zamannya.” Berkatanya lagi: “Abu Bakar bin al-Haddad al-Syafii merupakan seorang yang banyak meriwayatkan hadis, tetapi tidak ada seorang pun yang banyak meriwayatkan hadis daripadanya kecuali al-Nasaii. Dia sendiri berkata: “Aku meredainya sebagai hujah di antara aku dengan Allah di akhirat kelak.”

Berkata al-Daruquthni: “Abu Abd al-Rahman al-Nasaii telah keluar untuk menunaikan haji dan ketika sampai di Damsyik beliau ditimpa sakit dan mengetahui yang beliau tidak berupaya untuk sembuh. Beliau segera berkata: “Bawalah aku menuju ke Makkah!” lalu mereka membawanya dan meninggal dunia disana. Beliau dikebumikan di antara Safa dan Marwah pada tahun 303H. Ada juga yang mengatakan beliau meninggal dunia di Ramlah, Palestin. Karyanya begitu banyak ditinggalkan, antara yang paling baik adalah kitab al-Sunan miliknya yang masih diguna pakai hingga kini.

Kitab Sunan al-Nasaii

Imam al-Nasaii telah menghimpunkan hadis di dalam sebuah kitab yang dinamakan al-Sunan al-Kubra. Di dalamnya terdapat hadis Sahih, Dha’if dan juga Ma’lul (ada kecacatan), lalu dia ringkaskan di dalam kitab berjudul al-Mujtaba min al-Sunan al-Kubra yang dinamakan sebagai al-Sunan al-Sughra yang berada di tangan para pembaca pada hari ini.

Ibn al-Atsir menyatakan bahawa al-Nasaii sendiri yang meringkaskan kitab Sunan Kubra beliau itu, tetapi hall yang diterangkan oleh al-Zahabi menyatakan bahawa ringkasan kitab itu dilakukan oleh muridnya iaitu Abu Bakar Ibn al-Sunni.

Manhaj penulisannya

Beliau melakukan metod penulisan sebagaimana berikut:

Beliau amat berhati-hati dalam memilih periwayat hadis sehinggakan dinyatakan bahwa syaratnya adalah lebih ketat daripada syarat Imam Muslim.

Beliau meletakkan hadis di dalamnya berpandukan kepada hadis hukum sebagaimana yang dilakukan oleh Imam Abu Dawud di dalam sunannya. Dalamnya terkandung 51 bab berkaitan Fiqh Islam.

Beliau mengulangi hadis sebagai seni beristidlal dengan hadis tersebut pada hukum Fiqh yang dinyatakan di dalamnya. Diletakkan hadis-hadis tersebut dengan sanad pelbagai yang menghimpunkan struktur kajian sanad yang kemas. Perincian bab Fiqh ini juga menonjolkan kemahiran beliau dalam menghimpunkan keunikan hadis dan fiqh sekaligus.

Beliau bukan sahaja meletakkan hadis tersebut, tetapi turut membicarakan secara ringkas berkaitan dengan hadis itu sama ada illah yang terdapat di dalamnya, penambahan dan perselisihan ataupun tentang tokohnya yang menampakkan kepintaran dalam menggabungkan antara Ilmu Riwayah dan ilmu Dirayah.

Wallahu a’lam…

Semoga Allah memudahkan urusan kita….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan