Blog ini adalah blog yang menjadi ganti kepada blog www.mohdfikri.com/blog yang bermasalah setelah 2 tahun beroperasi. Segala bahan-bahannya dipindahkan ke sini. Harap maklum!

Jumaat, 7 Ogos 2009

Kitab Tafsir Mafatih al-Ghaib - Imam al-Razi


March 7th, 2009 at 5:32pm

Kitab Tafsir yang berjudul Mafatih al-Ghaib ini dikenali juga sebagai Tafsir al-Kabir hasil karya Imam Fakhr al-Din, Muhammad bin ‘Umar al-Razi (wafat 606 Hijrah) dikenali juga sebagai Fakhr al-Razi. Razi ini adalah nasab pada tempat yang disebut Rayy dalam wilayah Dailam di utara Iran. Beliau merupakan antara ahli tafsir yang terkenal dengan pelbagai ilmu berkaitan tafsiran al-Quran, juga faqih bagi mazhab al-Syafii.

Secara ringkasnya kitab ini mempunyai sedikit perselisihan berkaitan dengan penjenamaannya atau judul yang diberikan oleh beliau. Ini kerana ada sebahagian ulama menamakannya sebagai Mafatih al-Ghaib dan ada pula yang menamakan sebagai Tafsir al-Kabir.

Ramai yang membicarakan mengenai kitab ini, adakah ia dinamakan dengan kedua-dua nama ini atau salah satu dari keduanya dan apakah nama yang paling tepat bagi kitab tafsir ini?
Apabila dicari di dalam kitab tersebut, tidak ditemui sebarang petunjuk yang menyatakan dinamakan sebagaimana yang tersebut. Bahkan tidak disebut juga di dalam mukadimahnya dengan nama yang tertentu sebagaimana buku lain.

Apabila dikaji dalam beberapa buah kitab biografi ulama lain terdapat beberapa penyataan berkaitan kitab ini, antaranya:

a. Berkata al-Dawudi dalam kitab Thabaqat al-Mufassirin: Tafsir al-Kabir ini ditulis sebanyak 12 jilid dengan dinamakan Fath al-Ghaib atau Mafatih al-Ghaib.

b. Berkata pula Haji Khalifah di dalam Kasyf al-Zhunun: Kitab Mafatih al-Ghaib yang dikenali juga sebagai Tafsir al-Kabir dihasilkan oleh Fakhr al-Din, Muhammad bin ‘Umar al-Razi – wafat 606H.

c. Berkata pula al-Qanwaji @ al-Qanuji (Siddiq Hassan Khan) di dalam kitabnya Abjad al-‘Ulum: al-Fahkr al-Razi merupakan seorang ulama yang banyak mengulas dari kalangan ulama tafsir yang lain di dalam ilmu tafsir al-Quran. Namun, sebahagian ahli ilmu yang membuat semakan memberikan komentar mereka mengenai kitabnya Mafatih al-Ghaib bahawa, di dalamnya terdapat segala maklumat kecuali bab tafsir dan di dalam tafsirnya itu dikaji setiap perkara sama ada kecil atau besar hingga tidak terhitung banyaknya.

d. Berkata al-Suyuthi dalam kitab Thabaqat al-Mufassirin: Beliau mempunyai hasil karya berjudul Tafsir al-Kabir dan al-Mahsul dalam topik Usul al-Fiqh.

Apa yang jelasnya bila dibincangkan tentang judul ini, boleh diguna pakai kedua judul tersebut. Sering menjadi persoalan para ulama adakah beliau berjaya menyiapkan kitab ini?

Di dalam kitab Uyun al-Anba` karya Ibn Abi al-Usoibi’ah (jld 2, hlm. 29) berkenaan biografi Fakhr al-Razi yang menerangkan kitab karangannya ini beliau berkomentar seperti berikut:

Kitab Tafsir al-Kabir yang dinamakannya juga sebagai Mafatih al-Ghaib setebal 12 jilid dengan tulisan yang terperinci kecuali al-Fatihah. Beliau merupakan seorang yang ulung dengan mentafsirkan surah al-Fatihah dalam satu jilid. Turut mentafsirkan surah al-Baqarah menerusi aspek logika (linguistik dan sastera) dan tidak banyak dari nas beberapa jilid. Nyata bahawa tafsir beliau merupakan tafsiran yang sempurna…

Kataku: Apabila saya sendiri (mohdfikri.com) membaca ulasan tersebut yang menyatakan kitab tafsirnya satu jilid khusus adalah untuk surah al-Fatihah. Saya terus merujuk kitab tersebut versi PDF yang baru saya miliki. Memang benar! Kitab Tafsir al-Razi cetakan tahun 1981 dari Dar el-Fikr – Beirut setebal 32 jilid. Kalau beli mesti harganya dalam RM1k atau lebih. Jilid pertama adalah tafsiran Surah al-Fatihah dari hlm. 21 hingga hlm. 293. Ini adalah huraian surah al-Fatihah yang mempunyai 7 ayat sahaja.

Kataku: Ini dapat dilihat dari kemahiran penulisannya dalam membahagikan kategori, bab, penyelidikan dan tahap keilmuannya dalam bidang tersebut. Jika diambil dari aspek keilmuan dan kepakarannya, entah ke tahap mana yang kita boleh tandingi… ilmu kita di bawah kasutnya sahaja. Jika mahu menulis satu halaman pun entah berapa kali terhenti jika tidak menggunakan rujukan seperti ini. Inilah ulama Islam, wahai rakan-rakan blog sekalian!

Sambungan penjelasan Ibn Abi Usoibi’ah tadi pada jilid 2, hlm. 171 yang menerangkan biografi Syams al-Din Ahmad bin Khalil al-Khuyi bahawa beliaulah yang telah menyempurnakan Tafsir al-Quran yang diusahakan oleh Ibn Khathib al-Rayy. Dijelaskan bahawa Ibn Khathib al-Rayy adalah Fakhr al-Razi.

Ulas Ibn Abi Usoibi’ah mengenai biografi al-Khuyi, bahawa beliau sendiri mempelajari ilmu daripada al-Khuyi dan al-Khuyi pula sempat bersama Imam Fakhr al-Razi dan mengambil ilmu darinya.

Bila dilihat tarikh wafat mereka, Imam Fakhr al-Razi wafat 606H dan Ibn Abi Usoibi’ah wafat pada tahun 668H.

Dalam kitab Sejarah (al-Tarikh) karya Ibn Khalikan (jld. 1, hlm. 474) mengenai biografi al-Razi beliau menceritakan:

al-Razi mempunyai sebuah kitab Tafsir al-Quran yang dihimpunkan segala macam perkara pelik-pelik dan ia menjadi sangat tebal, namun dia tidak sempat menyempurnakannya. Huraian beliau mengenai surah al-Fatihah sahaja mencpai satu jilid. – Ibn Khalikan wafat pada tahun 681H.

Ibn al-Subki pula menulis dalam kitab Thabaqatnya (jld. 5, hlm. 35) mengenai biografi al-Razi beliau berkomentar: Tidak diketahui sama ada kitab tersebut sempat disiapkan atau tidak, namun dia mengulas di dalam (jld. 5, hlm. 179) mengenai biografi Najm al-Din, Ahmad bin Muhammad al-Qamuli: Beliau telah menyiapkan kitab tafsir Imam Fakhr al-Din. – Ibn al-Subki wafat pada 771H.

Di dalam kitab Syazarat al-Zahab fi Akhbar man Zahab karya Ibn al-Imad, Syihab al-Din Abu al-Falah, Abd al-Hayy bin Ahmad al-Hanbali (w1089H)) yang mengulas mengenai biografi al-Qamuli (jld. 6, hlm. 75). Al-Isnawi (ada orang tulis al-Asnawi – saya guna Isnawi sebab tempat kelahirannya di Isna di pinggir Kaherah) menyatakan:

Beliau telah menyiapkan Tafsir Ibn al-Khatib. Manakala al-Khatib adalah Fakhr al-Razi. Al-Isnawi wafat pada 771H.

Dalam kitab sama yang menyatakan biografi Fakhr al-Razi: berkata Ibn Qadhi Syahbah:
Antara karangannya adalah sebuah kitab tafsir yang tidak berjaya disiapkannya dalam 12 jilid yang tebal… Ibn Qadhi Syahbah wafat pada tahun 851H.

Jika persoalan ini masih menjadi tandatanya kerana beliau tidak sempat menyiapkan hasil kerjanya, siapakah pula yang menyempurnakan penulisannya ini?

Banyak pihak yang menyatakan bahawa mereka yang menyempurnakan kitab tersebut ialah al-Khuyi dan al-Qamuli. Secara terperincinya adalah seperti berikut:
1- Syams al-Din, Qadhi Qudhah Ahmad bin Khalil al-Khuyi (w637H). Ini adalah yang paling tepat dari aspek nama, gelaran, nasab dan wafatnya kerana terdapat kesilapan di dalam beberapa buah buku berkaitannya.

Beliau mempunyai seorang anak lelaki bernama Syihab al-Din, Qadhi Qudhah Muhammad bin Ahmad bin Khalil al-Khuyi (w637H). Seorang yang mahir dalam bidang hadis dan wafat pada tahun 693H.

Gelaran biasa gelaran Muhammad adalah Syams al-Din dan bagi mereka yang bernama Ahmad adalah Syihab al-Din. Berlaku kesilapan pada pengarang kitab Kasyf al-Zunun yang menjadikan gelaran bapanya sebagai Syihab al-Din.

2- Najm al-Din, Ahmad bin Muhammad al-Qamuli (w727H). Tarikh wafat dalam Khizanah al-Timuriyah menyatakan pada tahun 777H dan ini merupakan kesilapan yang berlaku kerana menyelisihi kesepakatan sejarawan Islam lain.

Segelintir ulama mendakwa bahawa Imam al-Suyuthi yang menyempurnakan Tafsir al-Razi ini yang ditulis dari Surah al-A’la (Kalau tak silap) hingga akhir al-Quran dalam satu jilid. Pengarang kitab Kasyf al-Zunun iaitu Haji Khalifah atau Katib Celebi telah menyatakan bahawa al-Suyuthi mempunyai sebuah kitab tafsir yang turut dinamakan juga dengan judul Mafatih al-Ghaib. Ini jelas menunjukkan bahawa kitab tersebut adalah kitab beliau sendiri dan bukannya kitab yang dibincangkan kini.

Perbincangan begitu panjang mengenai benarkah sambungan beberapa surah terkemudian diselenggarakan oleh orang lain? Jadi pengkaji dalam bahagian ini iaitu Syeikh Abd al-Rahman al-Mu’allimi dalam kitabnya bertajuk “Kajian Mengenai Tafsir al-Razi” mengupasnya begitu mendalam dan sukar dinyatakan di sini secara terperinci. Penyelidikan beliau melepasi pada segenap kaedah yang mampu membezakan teknik penulisan dan rujukan yang disampaikan oleh Imam al-Razi dengan penulis yang menyiapkan kitab tafsirnya ini.

Metod penulisan dan garapan yang telah disampaikan oleh Imam al-Razi mampu dibacanya dengan teliti dan dapat dibezakannya menerusi teknik al-Ihalah iaitu menukar bentuk garapannya dengan pentafsiran lain yang berbeza dengan gaya penjelasan Imam al-Razi sebelum itu.

Hingga beliau menjelaskan bahawa bahagian 1, 3, 5, 7 adalah karya al-Razi dan bahagian 2, 4 dan 6 adalah penulisan orang lain dan dapat dipastikan ia benar terjadi. 2 kebarangkalian yang dapat dihuraikan berkenaan perkara ini iaitu:

Imam al-Razi menyiapkan keseluruhan tafsirnya, namun sebahagian besarnya hilang dan kemudiannya disempurnakan oleh al-Khuyi dan selainnya.

Mungkin dia tidak mentafsirkan surah-surah tersebut pada asalnya yang merangkumi bahagian 2, 4 dan 6.

Kesimpulan yang beliau utarakan adalah seperti berikut:

Asal kitab ini adalah karya penulisan Fakhr al-Razi yang bermula dari surah pertama hingga akhir Surah al-Qasas, dari Surah al-Saffat hingga Surah al-Ahqaf, dari Surah al-Hadid, al-Mujadalah dan al-Hasyr, seterusnya dari Surah al-Mulk hingga akhir kitab. Surah yang selain dari itu adalah karangan Ahmad bin Khalil al-Khuyi yang menyempurnakannya. Apa yang dia siapkan itu merangkumi penambahan apa yang diulas pada asalnya dan itulah yang jelas dari pemerhatianku. Wallahu a’lam.

Kataku: Justeru itu, kitab tafsir ini adalah kitab yang cukup besar kerana merangkumi 32 jilid dalam kitab sekarang yang setiap satunya mencapai purata 250 halaman. Jika dicongak 250 X 32 jilid = kurang lebih 8,000 halaman. Banyak tu! Sesetengah ulama sendiri mengakui bahawa tidak diketahui terdapatnya sebuah kitab tafsir bi al-Ra`yi (aspek pandangan) yang sebesar dan setebal ini sebelumnya.

Dalam tafsir ini jika kita belajar, ia mempunyai dua bahagian iaitu:

1- Tafsir bi al-Ra’yi – menurut logika2- Tafsir bi al-Ma’tsur – berpandukan nas
Oleh itu secara umumnya, tafsir beliau adalah sebuah tafsir yang membicarakan menurut logika dan kandungannya boleh dilihat pada mukadimahnya yang ditulis seperti berikut:
Keistimewaan Tafsir Ini:

Tidak banyak membicarakan perbincangan dan perbahasan. Berkata al-Safadi dalam kitabnya al-Wafi bi al-Wafayat: al-Razi membawa penulisan yang tidak pernah ditulis oleh tokoh sebelumnya dengan membuka setiap masalah dan mengkategorikannya dan diterangkan pula sub-topik pada setiap kategori tersebut… (panjang ceritanya). Beliau juga banyak mengambil ungkapan kata hukama dan ahli falsafah hingga menjadi takjub sebab macam-macam ilmu terkandung di dalamnya sewaktu menghuraikannya. Namun, keperibadian al-Razi cukup terserlah bila dia membicarakan mazhab falsafah yang diperkatakan pada masa itu dengan kupasan ilmunya yang luas serta akal yang terbimbing. Rahimahullah!

Qiraat – dia turut membentangkan jajaran ayat berkait dengan Qiraat yang pelbagai. Bahkan beliau turut mengeluarkan maknanya menurut bacaan Qiraat tersebut berlandaskan ilmu bahasa Arab dan pakar nahu.

Hadis – beliau kurang bersandarkan pada hadis dalam tafsirannya ini hatta dalam membicarakan soal fiqh dengan menyandarkan nama para ulama fiqh (kelainan yang dibawanya ini mungkin untuk menyekat pengaruh ahli falsafah pada zamannya itu, jadi logik akal lebih banyak digunakan daripada penggunaan dalil naqli yang bersandarkan al-Quran dan hadis – ini antara kepakaran ulama Islam yang menguasai keilmuan Islam yang luas dalam menghadapi seterunya dari pelbagai bentuk dan peringkat. Dalam menghadapi dakyah Kristianisasi suatu ketika dulu, pakar Perbandingan Agama seperti Ahmad Deedat cukup berkesan dalam menyekat kemaraan Kristianisasi sekalipun sesetengah pihak menganggap beliau bukan seorang tokoh yang mahir dalam menggunakan al-Quran dan hadis. Jadi Allah membezakan kita bagi memudahkan kita untuk emnyesuaikan diri kita mengikut kemampuan kita dalam menghadapi musuh-musuh Islam. Jika tiada pakar internet Islami, sudah pasti tidak ada orang yang dapat menyekat pengaruh musuh Islam di arena tersebut. Subhanallah!)

Syair – kebanyakan sajak dan puisinya adalah sebagai istisyhad (dalam bahasa kita kalimah apa yang paling sesuai untuk menyatakannya – sajak digunakan dalam berhujah, lebih kurang begitulah. Kalau Quran dan hadis disebut istidlal – dikemukakan dalil atau hujah, maka kena faham sendiri makna yang lebih best…) Sajak itu digunakan dalam mengukuhkan pandangan berkaitan bahasa, sastera dan kalimah yang sesuai dalam menghuraikannya. Ini cukup jelas dalam melihat pada keluasan ilmu dan pengetahuannya dalam lapangan bahasa dan kesusasteraan Arab dan kecairannya di bidang tersebut.

Sebab penurunan atau Asbab al-Nuzul – jika dalam hadis disebut Asbab al-Wurud iaitu sebab kedatangan/kemunculan. Dalam tafsir ini cukup banyak membicarakannya beserta sandaran atau tanpa sandaran yang kebiasaannya disandarkan kisah tersebut kepada para sahabat dan juga tabiin.

Sumber Utama Tafsir Ini:

Aspek Tafsir – beliau banyak mengambil pandangan tokoh mufassirin – bukan musafirin – seperti ibn Abbas radhiyallahu ‘anhuma, al-Kalbi, Mujahid, Qatadah, al-Suddiy dan Sa’id bin Jubair.

Aspek bahasa – antara tokoh rujukannya seperti al-`Asma’ii, Abu ‘Ubaidah, al-Fara` dll.
Berbanggalah menjadi umat Islam yang mempunyai tokoh terbilang seperti Imam Fakhr al-Razi ini.
Wallahu a’lam…. Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan